Search
Close this search box.

Dewan Rakyat: Kaedah perolehan KKR tertakluk kepada Pekeliling Perbendaharaan – Alexander Nanta

BySalasiah Safian

KUALA LUMPUR, 4 Julai: Dewan Rakyat dimaklumkan kaedah perolehan kerajaan di bawah Kementerian Kerja Raya (KKR) tertakluk kepada Pekeliling Perbendaharaan 2.1, Kaedah Perolehan Kerajaan (PK2.1)

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, merujuk kepada PK2.1 perolehan yang bernilai lebih RM20,000 hingga RM200,000 hendaklah dipelawa dalam kalangan sekurang-kurangnya lima kontraktor tempatan/daerah Gred G1 yang berdaftar dengan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB).

Jelas beliau, kontraktor berkenan juga perlu memiliki Sijil Perolehan Kerja Kerajaan (SPKK) mengikut kategori dan pengkhususan yang berkenaan.

“(Bagi) perolehan yang bernilai melebihi RM200,000 hingga RM500,000 hendaklah dipelawa dalam kalangan sekurang-kurangnya lima kontraktor tempatan Gred G2 yang berdaftar dengan CIDB dan mempunyai Sijil Perolehan Kerja Kerajaan (SPKK) mengikut kategori dan pengkhususan yang berkenaan.

“Sehubungan itu, Had Nilai Kerja bagi perolehan kerajaan, kontraktor tempatan Gred G1 dan G2 masih tertakluk kepada arahan PK2.1 dan untuk sebarang kenaikan Had Nilai Kerja bagi perolehan kerajaan ini adalah di bawah bidang kuasa Kementerian Kewangan,” katanya pada Waktu -Waktu Pertanyaan Menteri di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Roslan Hashim (Perikatan Nasional-Kulim Bandar Baharu) yang ingin tahu sama ada kementerian bercadang untuk menaikkan had nilai kerja G1 daripada RM200,000 kepada RM250,000 atau RM300,000 memandangkan harga barang yang semakin meningkat dan kerja G2 boleh dinaikkan kepada RM600,000.

Sementara itu Alexander Nanta berkata, KKR sentiasa memantau perkembangan industri pembinaan khususnya melibatkan isu kenaikan harga bahan binaan dan bahan mentah serta kesannya ke atas kontraktor.

Penelitian itu katanya perlu dilakukan daripada pelbagai sudut sebelum pertimbangan atau pengenalan dasar dibuat kerajaan.

“(Ini termasuk) indeks kos bahan dikeluarkan Jabatan  Perangkaan Malaysia yang akan merekodkan sebarang peningkatan dan penurunan kos binaan,” katanya. -TVS.

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan