Search
Close this search box.
Pasukan petanque SUKMA Sarawak ketika menjalani latihan di Pusat Latihan Petanque di Santubong, baru-baru ini. Foto Hafeezzur Muzamir (TVS)

Skuad petanque SUKMA Sarawak ‘berguru’ di Thailand, optimis tuai dua emas

ByHafeezzur Muzamir

KUCHING, 3 Julai: Bagi memantapkan pasukan dalam usaha mengubati kekecewaan tanpa kilauan emas pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) edisi dua tahun lalu di Kuala Lumpur, pasukan petanque Sarawak memilih untuk ‘berguru’ di Bangkok, Thailand dari 27 Jun hingga 7 Julai ini.

Jurulatih pasukan petanque Sarawak, Mohammad Ahir Binar berkata, Thailand menjadi destinasi latihan pasukannya susulan negara itu merupakan antara kuasa besar sukan itu dengan pihaknya berkeyakinan aspek teknikal mampu ditambah baik berbaki kurang 50 hari sebelum SUKMA bermula.

Skuad petanque Sarawak ‘berguru’ di Thailand | TVS

“Keputusan untuk berlatih di Thailand dibuat kerana kita mengetahui negara itu berada pada ranking yang tinggi dalam sukan petanque dan mereka merupakan satu-satunya pasukan di rantau ini yang mampu menewaskan juara dunia, Perancis.

“Kami menuntut ilmu di sana kerana terdapat banyak perkara perlu dipelajari terutama sekali mengenai bagaimana untuk menutup kelemahan dan kekurangan pasukan sebelum SUKMA bermula,” katanya ketika ditemui TVS di Pusat Latihan Petanque di Santubong, baru-baru ini.

Dalam pada itu, mengulas mengenai sasaran pingat yang diletakkan pada temasya dwitahunan itu, beliau berkata, sekurang-kurangnya dua emas menjadi buruan sekali gus memperbaiki pencapaian edisi di Kuala Lumpur yang sekadar meraih satu gangsa.

“Kami sasarkan dua pingat emas, satu perak dan dua gangsa berdasarkan prestasi semasa para atlet.

“Sasaran ini juga dibuat mengambil kira perkembangan prestasi pasukan negeri lain yang kami ikuti dengan dekat dari semasa ke semasa,” ujarnya.

Sementara itu, atlet petanque wanita Sarawak, Nur Durratul Sahira Yazit optimis dia dan rakan sepasukannya mampu memperagakan aksi terbaik di tempat sendiri, selain menjanjikan kejutan kepada negeri kuasa besar sukan itu iaitu Johor, Selangor dan Kelantan.

“Ini kali kedua saya beraksi dalam SUKMA dan pada kali ini saya lihat sesuatu dapat dicapai kerana persediaan untuk pasukan ini dijalankan dengan cukup rapi dengan kami diberikan pendedahan yang secukupnya,” katanya.

Manakala bagi rakan sepasukannya, Sharifah Daniamalyana Wan Deros pula, dia bertekad untuk menjulang nama Sarawak dalam temasya kali ini dengan menghadiahkan pingat emas dalam kesemua kategori yang disertainya.

“Kami akan ‘berperang’ sehabis mungkin dengan kontinjen negeri lain untuk membutirkan kilauan emas untuk negeri tercinta ini,” katanya.

Acara petanque akan dilangsungkan di Santubong menyaksikan sebanyak 13 pingat emas menjadi rebutan 15 kontinjen pada temasya yang akan berlangsung dari 17 hingga 2024 Ogos. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan