Search
Close this search box.
Sarawak menyasarkan untuk mengeluarkan 400,000 tan metrik padi menjelang tahun 2030 dengan menggunakan teknologi canggih. Foto TVS

Sarawak peruntuk RM500 juta untuk sistem saliran tanaman padi

KUCHING, 3 Julai: Sarawak menyasarkan untuk mengeluarkan 400,000 tan metrik padi menjelang tahun 2030 dengan menggunakan teknologi canggih.

Bagi mencapai sasaran tersebut, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, mengumumkan bahawa sejumlah RM500 juta diluluskan untuk membina sistem saliran tanaman padi pada tahun hadapan di kawasan Sri Aman, Samarahan dan Kuching.

Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg. Foto TVS

“Kita mesti mencapai tahap berdikari dan jika ada lebihan, sudah tentu kita boleh berkongsi dengan Semenanjung Malaysia atau luar negara.

“Kerjasama dengan Universiti Putra Malaysia Bintulu (UPM) telah menunjukkan hasil yang luar biasa. Kita berjaya mencapai pengeluaran sebanyak lapan tan metrik per hektar setiap musim.

“Selain itu, dalam tempoh 24 bulan, kita telah membuktikan bahawa kita mampu mendapatkan lima hasil tuaian,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Dewan Perniagaan dan Perindustrian Dayak (DCCI) dan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kadazandusun (KCCI) Gawai Kaamatan, malam tadi.

Tambah beliau lagi, Sarawak pada mulanya meminta peruntukan bagi pembangunan skim saliran tersebut daripada Kerajaan Persekutuan tetapi masih belum mendapat maklum balas.

Menurut beliau, kawasan yang dipilih memerlukan peruntukan sekurang-kurangnya RM1 bilion, tidak termasuk kawasan berpotensi besar lain seperti Limbang dan Lawas serta ladang kecil tradisional oleh komuniti.

“Apabila saya menyatakan kawasan ini memerlukan RM1 bilion, menteri yang bertanggungjawab berkata ia terlalu banyak. Kemudian saya mencadangkan agar kita bahagikan kepada dua, saya (kerajaan Sarawak) beri RM500 juta, anda (Kerajaan Persekutuan) beri RM500 juta.

“Sehingga hari ini, kami masih menunggu, tetapi Sarawak telah memperuntukkan RM500 juta untuk pembangunan ini,” ujarnya. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan