Search
Close this search box.
Prof Dr Jamiyah Hassan daripada Hospital Al-Sultan Abdullah, UiTM Puncak Alam, Selangor, berkata pendekatan terbaik bagi mencegah PPH adalah dengan mengelakkan kehamilan berisiko tinggi. Foto hiasan Envato

Tumpah darah masih ancaman utama buat wanita bersalin – Pakar

ByBernama

KUALA LUMPUR, 2 Julai: Dianggarkan kira-kira 14 juta wanita di seluruh dunia mengalami pendarahan pascapartum saban tahun, dan menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), 25 peratus daripada kematian wanita selepas bersalin adalah disebabkan oleh insiden perubatan itu.

Pendarahan pascapartum atau PPH, merupakan kecemasan obstetrik kritikal melibatkan pendarahan melampau selepas bersalin atau “tumpah darah” – kehilangan darah melebihi 500 mililiter (ml) selepas proses kelahiran normal atau 1000 ml susulan pembedahan Caesarean.

Menurut Pakar Perunding Obstetrik dan Ginekologi Datuk Dr Harlina Halizah Siraj, seorang wanita yang mengalami PPH berisiko tinggi meninggal dunia hanya dalam tempoh beberapa jam jika tidak diberikan rawatan yang betul.

 

MALAYSIA TIDAK TERKECUALI

Mengulas lanjut, Dr Harlina Halizah berkata PPH adalah satu daripada tiga penyebab utama kematian wanita bersalin, baik di negara maju ataupun membangun seperti Malaysia.

“PPH primer dan sekunder boleh berlaku dalam tempoh 24 selepas bersalin, dan hingga 12 minggu pascamelahirkan.

“Di Malaysia, PPH masih menjadi kebimbangan utama dalam proses kelahiran sekalipun kemudahan penjagaan kesihatan dan ibu mengandung semakin maju,” katanya ketika ditemui Bernama pada satu majlis anjuran Organon Malaysia, sebuah syarikat penjagaan kesihatan global, di sini baru-baru ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata kadar kematian ibu bersalin di negara ini masih pada angka membimbangkan.

“Data Kementerian Kesihatan merekodkan, pada 1933 kadar kematian ibu bersalin, iaitu bagi setiap 100,000 kelahiran hidup, adalah 1080.0 peratus dan menurun beransur-ansur seiring kemajuan sektor perubatan kepada 21.1 peratus pada 2019.

“Namun, jumlah kes meningkat sejak beberapa tahun ini, terutama semasa penularan pandemik COVID-19, daripada 21 peratus (103 kematian) pada 2019, kepada 24.8 peratus (117 kematian) pada tahun berikutnya, dan meningkat mendadak kepada 300 kes (68.2 peratus daripada kelahiran) pada 2021,” katanya.

Menurut beliau, tindakan pantas Kementerian Kesihatan bagaimanapun berjaya menurunkan jumlah insiden kepada 110 kes atau 26 peratus daripada keseluruhan kelahiran pada 2022.

“Statistik ini menunjukkan usaha kerajaan untuk mencapai sasaran WHO, iaitu kurang daripada 70 kematian bagi setiap 100,000 kelahiran menjelang 2030, masih merupakan cabaran besar,” tambah beliau.

 

MEMAHAMI “4T”, PUNCA PPH

Sehubungan itu, Dr Harlina Halizah yang juga Pengasas dan Pengarah Akademi Dr Har, menekankan kepentingan memahami punca berlaku PPH agar intervensi dan rawatan dapat dilakukan tepat pada masanya.

Penyebab PPH diklasifikasikan sebagai “4T” yang mewakili tisu (tissue), tonus (tone), trauma dan trombin (thrombin) atau koagulopati.

Antara penyebab primer PPH adalah sisa plasenta atau produk perancang kehamilan, iaitu apabila cebisan tisu plasenta atau darah beku tertinggal di dalam uterus selepas bersalin dan menghalang pengecutan rahim yang sempurna, membawa kepada pendarahan berterusan sekali gus meningkatkan risiko PPH.

Uterine atony – merujuk keadaan uterus yang lemah selepas bersalin – juga merupakan penyebab lazim PPH, menyumbang kira-kira 70 ke 80 peratus kes. Kegagalan uterus untuk mengecut dengan sempurna selepas bersalin menyebabkan salur darah pada rahim kekal dalam keadaan mengembang, mengakibatkan pendarahan berterusan. Antara punca berlaku uterine atony adalah proses bersalin mengambil masa yang lama atau saiz fetus terlalu besar.

Satu lagi punca peningkatan risiko berlaku tumpah darah adalah trauma pada sistem peranakan, termasuk koyakan pada serviks atau vagina.

“Koyakan ini boleh berlaku sama ada secara tidak sengaja atau dilakukan oleh doktor, di mana insisi kecil (episiotomi) dibuat bagi membantu proses kelahiran. Trauma ini menjejaskan keutuhan salur darah pada kanal lahir, mengakibatkan pendarahan yang signifikan jika tidak dirawat segera.

“Koagulopati pula merujuk gangguan darah beku. Kondisi sedia ada seperti penyakit Von Willebrand atau hati boleh menjejaskan keupayaan tubuh untuk membekukan darah dengan berkesan. PPH itu sendiri boleh membawa kepada penggunaan faktor-faktor yang berfungsi membekukan darah, sekali gus memburukkan lagi pendarahan dan menyukarkan pengurusan insiden,” jelasnya.

Sehubungan itu kata beliau, amat penting bagi pihak yang berkenaan memantau rapi gejala uterine atony semasa proses kelahiran agar PPH dapat dikesan awal. Biasanya, otot uterus akan mengecut selepas proses bersalin yang seterusnya menyebabkan pendarahan terkawal.

“Yang mahu diketengahkan di sini adalah keperluan menguruskan kehilangan darah tidak normal secepat mungkin bagi menghindari komplikasi lebih serius,” katanya.

 

KEHAMILAN YANG SIHAT

Seorang lagi pakar, Prof Dr Jamiyah Hassan daripada Hospital Al-Sultan Abdullah, UiTM Puncak Alam, Selangor, berkata pendekatan terbaik bagi mencegah PPH adalah dengan mengelakkan kehamilan berisiko tinggi.

Katanya orang ramai harus tahu bahawa risiko berlaku tumpah darah boleh meningkat disebabkan oleh pelbagai faktor, antaranya berat badan berlebihan atau obes yang membawa kepada diabetes, kolesterol tinggi serta hipertensen.

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, pada masa ini, terdapat kira-kira 1.7 juta penduduk Malaysia yang mempunyai ketiga-tiga faktor risiko itu dengan dianggarkan satu daripada dua orang dewasa di negara ini mengalami obesiti abdomen, serta satu daripada lima orang dewasa menghidap diabetes yang turut menyumbang kepada kehamilan berisiko tinggi.

Kata Dr Jamiyah, ibu terbabit sudahpun berdepan risiko tinggi berikutan keadaan kesihatannya dan kemudian ditambah lagi potensi mengalami PPH apabila bersalin.

“Jadi, dengan meletakkan kehamilan berisiko tinggi di bawah pemantauan rapi dan memberi tumpuan pada penjagaan prakehamilan, kesihatan ibu dapat dilindungi dan insiden PPH teruk yang membawa kepada kematian ibu dapat dikurangkan.

“Menangani keadaan sedia ada, meminimumkan keperluan intervensi obstetrik, mengoptimumkan kesihatan ibu serta fungsi uterus, dan seterusnya mengurangkan morbiditi dan mortaliti ibu adalah amat penting dalam menangani kes PPH,” tambah beliau.

Menurut beliau, pada masa ini terdapat beberapa pendekatan yang diambil bagi mencegah PPH, antaranya amalan Active Management of the Third Stage of Labor di dalam bilik bersalin yang dapat mempermudah pengeluaran plasenta dengan meningkatkan pengecutan uterus di samping mengelakkan berlaku uterine atony.

“Selain itu, teknik Controlled Cord Traction, iaitu dengan menarik secara perlahan-lahan tali pusat sambil menekan dari arah bertentangan pada bahagian bawah abdomen bagi membantu pengeluaran plasenta, dapat mengurangkan pendarahan pascapartum,” jelas beliau yang turut menekankan kepentingan membangunkan peranti perubatan bagi mempermudah proses kelahiran dan menangani kes PPH pada masa akan datang. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan