Search
Close this search box.
Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menekankan sifat industri yang dinamik tetapi mencabar dan menegaskan keperluan untuk peningkatan kemahiran berterusan serta penerokaan kawasan baharu dalam Malaysia dan luar pesisir. Foto TVS

Abang Johari mahu vendor tempatan capai kejayaan global dalam industri OGSE

KUCHING, 3 Julai: Peranan Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) dalam melahirkan vendor tempatan melalui industri Perkhidmatan dan Peralatan Minyak dan Gas (OGSE) penting bagi mencapai dominasi global dalam industri berkenaan dan seterusnya membolehkan mereka aktif dalam pelbagai sektor berkaitan dengan minyak dan gas.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menekankan sifat industri yang dinamik tetapi mencabar dan menegaskan keperluan untuk peningkatan kemahiran berterusan serta penerokaan kawasan baharu dalam Malaysia dan luar pesisir.

“Seperti yang anda ketahui, ini adalah industri yang sangat berkembang manakala ia juga banyak cabaran jadi anda perlu meningkatkan kemahiran anda serta mengenal pasti kawasan baharu yakni anda boleh menyertai industri minyak di Malaysia dan luar pesisir.

“Saya ingin mengambil kesempatan ini juga untuk merakamkan penghargaan saya kepada PETRONAS atas sumbangan PETRONAS melatih pemain industri Sarawak dalam industri minyak dan gas serta juga untuk membentuk mereka supaya mereka boleh aktif dalam pelbagai sektor yang berkaitan dengan industri minyak dan gas,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Penghargaan Kerjasama Vendor Sarawak dalam Industri Minyak dan Gas (OGSE) 2024 di sini pada Isnin.

Turut hadir, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan), Datu Dr Muhammad Abdullah Zaidel dan Naib Presiden Kanan Pengurusan Petroleum Malaysia PETRONAS, Datuk Bacho Pilong.

Abang Johari yang juga Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak berkata, industri minyak dan gas telah dikenal pasti sebagai industri penting bagi mencapai sasaran Sarawak melalui Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.

Malah, Sarawak bergiat aktif dalam meneroka tenaga alternatif selain daripada bahan api fosil yang menjadi ‘lubuk emas’ wilayah ini.

“Seperti yang anda tahu, kita sedang menghadapi perubahan iklim global dan terdapat desakan dengan pemain global bahawa kita perlu meneroka tenaga mesra lain, selain daripada bahan api fosil untuk memacu pembangunan ekonomi negara.

“Pada masa sama, memelihara alam sekitar seperti yang digariskan melalui Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs) dan disebabkan itulah Kerajaan Sarawak menjalinkan kerjasama dengan semua pemain termasuk PETRONAS, PETROS dan rakan-rakan kita sebagai perkongsian untuk mencapai objektif SDGs sambil meneroka tenaga alternatif baharu untuk berkembang maju bagi ekonomi kita,” tambahnya lagi.

Beliau turut mengulangi pendirian bahaswa Sarawak tidak mengambil hak PETRONAS dalam pembangunan industri minyak dan gas (O&G).

“Sebaliknya, segala usaha yang dilaksanakan Sarawak dalam industri O&G adalah berlandaskan hak dan undang-undang sedia ada,” tegasnya. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan