Search
Close this search box.
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Program Perasmian Bekalan Solar Hibrid dan Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Rumah Brain Mering, Punan Ba, hari ini. Foto Zaim Zharfan (TVS)

RM4.2 juta diluluskan untuk penggantian bateri solar hibrid di Punan Ba

ByAkma Salleh

BELAGA, 1 Julai: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan kelulusan peruntukan RM4.2 juta bagi membiayai kos menggantikan bateri solar hibrid di Punan Ba, di sini.

Menurutnya, penggantian bateri tersebut akan dilakukan setiap enam atau tujuh tahun sekali.

Panel solar yang digunakan penduduk di Punan Ba, Belaga. Foto Zaim Zharfan (TVS)

“Untuk penggantian bateri dengan ini saya umumkan bahawa Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah meluluskan RM4.2 juta untuk menggantikan bateri solar hibrid ini setiap enam ke tujuh tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Perasmian Bekalan Solar Hibrid dan Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Rumah Brain Mering, Punan Ba, hari ini.

Hadir sama ialah Timbalan Menteri Digital, Datuk Wilson Ugak Kumbong dan Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Liwan Lagang.

Sebelum ini, Zahid memberitahu, satu sistem baharu bekalan elektrik luar bandar menggunakan tenaga solar yang dilengkapi bateri untuk kenderaan elektrik (EV) akan dilaksanakan di Sabah dan Sarawak.

Menurutnya, sistem menggunakan teknologi baharu itu akan menggantikan sistem tenaga solar yang digunakan sebelum ini di kawasan luar bandar kedua-dua negeri.

Beliau juga mengakui, bateri adalah isu utama sistem tenaga solar termasuk pergantungan kepada hanya satu pembekal untuk penukaran bahan itu menyebabkan ia tidak praktikal.

Sementara itu, dalam majlis sama, Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah turut meluluskan pembinaan lampu jalan di sekitar rumah panjang di Punan Ba.

“Untuk lampu jalan ini, ia di bawah kementerian saya dan saya juga akan luluskan. Begitu juga dengan loji air bersih dan terawat, saya luluskan RM25 juta untuk pembinaan loji rawatan air tersebut,” jelasnya.

Terdahulu, Liwan dan Tuai Rumah Brain Mering memaklumkan, penempatan Punan Ba, sering mengalami masalah air dan memerlukan dana daripada Kerajaan Persekutuan untuk pembinaan loji yang bernilai RM21.6 juta.

“Air bersih ini amat penting kerana sekarang ini banyak penyakit terutamanya melalui air yang kotor.

“Penempatan ini juga sering mengalami masalah air yang kritikal terutama menjelang musim perayaan dan keramaian yang mana sumber paip graviti tidak dapat menampung secara menyeluruh untuk komuniti kampung,” katanya.

Dengan pembinaan loji itu nanti ia bukan sahaja membekalkan air bersih bahkan memberi manfaat kepada Sekolah Kebangsaan Punan Ba dan Klinik Kesihatan. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan