Search
Close this search box.
Timbalan Menteri Ekonomi merangkap Ahli Parlimen Mukah Datuk Hajah Hanifah Hajar Tun Abdul Taib pada Persidangan Dewan Rakyat sempena Mesyuarat Kedua, Penggal Ketiga Parlimen Kelima Belas di Bangunan Parlimen hari ini. Foto, Bernama.

Dewan Rakyat: Inflasi negara suku pertama 2024 meningkat sederhana – Hanifah Hajar

ByAdlina Rahman

KUALA LUMPUR, 1 Julai: Kadar inflasi negara mencatatkan peningkatan sederhana sebanyak 1.7 peratus pada suku pertama 2024 berbanding 1.6 peratus pada suku keempat 2023.

Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Hanifah Hajar Taib berkata, kadar itu juga kekal di bawah paras dua peratus bagi tempoh dua sukuan berturut-turut.

Jelas beliau, ini bermakna peningkatan kadar harga barangan dan perkhidmatan adalah sederhana.

“Secara amnya, kadar inflasi pada paras dua hingga tiga peratus dapat menjamin keseimbangan terhadap ekonomi sesebuah negara.

“(Namun) kerajaan sedar rakyat terkesan akibat kenaikan harga barangan keperluan. Antara faktornya adalah peningkatan kos pengeluaran yang disebabkan oleh kenaikan kos operasi, ketidaktentuan bekalan akibat isu geopolitik dan kadar tukaran mata wang asing yang melibatkan pelbagai kementerian,” katanya Pada Pertanyaan – Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Hanifah Hajar menjawab pertanyaan Datuk Seri Hishammuddin bin Hussein (Barisan Nasional – Sembrong) yang meminta Menteri Ekonomi menyatakan sejauh manakah kadar inflasi Malaysia sebanyak 1.8 peratus suku pertama 2024 mencerminkan realiti ekonomi dan peningkatan kos sara hidup yang sedang dihadapi oleh majoriti rakyat dan pengguna.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pelbagai program dan inisiatif telah dikenal pasti dan mula dilaksanakan terutamanya melibatkan program jangka panjang termasuk meningkatkan bekalan dan jaminan makanan untuk rakyat menerusi pelbagai program pertanian oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan.

“(Ini termasuk) Program Pengukuhan Keterjaminan Makanan 2024 dengan kos sebanyak RM400 juta bagi pelaksanaan aktiviti pemantapan rantaian makanan dan pengukuhan pemasaran agromakanan,” katanya.

Inisiatif lain pula jelas beliau termasuklah Program Pemerkasaan Industri Akuakultur dengan kos sebanyak RM30 juta yang menyasarkan peningkatan pengeluaran akuakultur sehingga 630,000 tan metrik menjelang 2025.

“(Kerajaan juga melaksanakan) Dana Teknologi dan Automasi di Rantaian Nilai Agromakanan dengan kos sebanyak RM50 juta bertujuan membantu usahawan pertanian untuk perolehan peralatan dan perkhidmatan berteraskan automasi dan teknologi Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) bioteknologi dan teknologi hijau,” katanya.

Berkenaan langkah untuk mengatasi isu peningkatan harga di Borneo, beliau berkata Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup bakal melaksanakan Kajian Penstabilan Harga di Sarawak, Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan. -TVS.

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan