Search
Close this search box.
Dewan Rakyat dimaklumkan kerajaan melaksanakan beberapa program penjanaan pendapatan seperti Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) di bawah Kementerian Ekonomi untuk menoktahkan miskin tegar. Foto hiasan, Envato.

Dewan Rakyat: Dana besar disediakan kerajaan atasi miskin tegar – Hanifah Hajar

BySalasiah Safian

KUALA LUMPUR, 1 Julai: Kerajaan akan memastikan penglibatan lebih ramai golongan sasar menyertai program pembasmian kemiskinan tegar yang dilaksanakan di seluruh negara, Dewan Rakyat dimaklumkan hari ini.

Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Hanifah Hajar Taib berkata, kerajaan juga komited untuk menoktahkan kemiskinan tegar tanpa mengira latar belakang kaum, wilayah dan negeri selaras dengan matlamat pembangunan inklusif supaya tiada yang terpinggir dalam arus pembangunan sosioekonomi.

Dari segi pelan tindakan jelas beliau, keutamaan akan diberi untuk memantapkan penyediaan infrastruktur, mengoptimumkan potensi ekonomi, menambah baik akses kepada perkhidmatan sosial, mempertingkat pembangunan inklusif dan memperkukuh kerjasama antara agensi Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri.

“Ini dilaksanakan untuk meningkatkan akses dan peluang pertumbuhan yang seterusnya dapat meningkatkan peluang pekerjaan, keusahawanan dan taraf hidup.

“Selain itu, kerajaan turut memperuntukkan sejumlah besar dana bagi melaksanakan program menangani kemiskinan di bawah pelbagai kementerian dan agensi antaranya meliputi program-program keusahawanan, modal insan, program peningkatan pendapatan lain untuk ketua isi rumah (KIR) miskin tegar,” katanya pada Pertanyaan – Pertanyaan Jawab Lisan di sini hari ini.

Hanifah Hajar menjawab pertanyaan Ahmad Fadhli Shaari (Perikatan Nasional – Pasir Mas) yang meminta Menteri Ekonomi menyatakan negeri-negeri yang disasarkan oleh kerajaan untuk mencapai sifar miskin tegar serta pelan tindakannya.

Sementara itu Hanifah Hajar memaklumkan, kerajaan melaksanakan beberapa program penjanaan pendapatan seperti Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) oleh Kementerian Ekonomi.

“Sebagai contoh, bagi Kelantan, program IPR telah memberi limpahan manfaat kepada 315 isi rumah miskin tegar, miskin dan B40 melalui program Inisiatif Usahawan Makanan (INSAN) dan pendekatan basmi miskin tegar (BMT).

“Terdapat peserta yang telah berjaya meraih hasil jualan bulanan berjumlah RM21,900 pada Januari 2024 melibatkan mesin layan diri yang beroperasi di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Machang,” katanya.

Berkenaan peratusan miskin tegar, Hanifah memaklumkan tumpuan diutamakan kepada negeri dan wilayah yang mempunyai peratusan kemiskinan tegar yang lebih tinggi melebihi paras nasional seperti  Sabah (1.2 peratus), Kelantan (0.8 peratus), Sarawak (0.4 peratus) dan Kedah sebanyak 0.3 peratus. -TVS.

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan