Search
Close this search box.
Hospital Miri. Foto TVS

Bangunan tambahan pemangkin Hospital Miri sebagai pusat perubatan terulung di Sarawak

MIRI, 1 Julai: Menteri Kerja Raya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi yakin pembinaan bangunan tambahan Hospital Miri dapat menjadi pemangkin untuk hospital tersebut sebagai salah satu pusat perubatan terulung di Sarawak.

Menurutnya, bangunan tambahan itu akan membantu hospital tersebut berfungsi sebagai sebuah pusat perkhidmatan kesihatan sejajar dengan pembangunan di Bandaraya Miri.

“Saya yakin dengan adanya bangunan tambahan ini, Hospital Miri boleh berfungsi sebagai sebuah pusat perkhidmatan kesihatan setanding dengan pusat kesihatan yang lain sejajar dengan pembangunan di Miri. Saya berharap sumbangan KKR dalam pembinaan bangunan tambahan ini dapat menjadi pemangkin untuk Hospital Miri mengorak langkah menjadi salah satu pusat perubatan yang terulung di negeri ini,” katanya pada Majlis Penyerahan Bangunan Tambahan Hospital Miri hari ini.

Bangunan tambahan ini direkabentuk dengan kapasiti dan keupayaan 328 katil yang menyediakan kepakaran dan fasiliti seperti Wad Kelas Pertama, Wad Wanita, Wad Lelaki, Wad Kanak-Kanak, Wad Obstetrik, Dewan Bedah Utama, Dewan Bedah Bersalin, Unit Rawatan Rapi, Unit Kecemasan, Bahagian Pengimejan dan Klinik Doktor Pakar.

Sementara itu, pada sidang media, Alexander berkata, Teknologi Industrialised Building System (IBS) telah dilaksanakan dalam projek pembinaan bangunan tambahan Hospital Miri yang membolehkan projek ini siap lebih awal daripada yang dijadualkan.

“Projek ini menggunakan teknologi IBS, di mana kita menggunakan sebanyak 70 peratus yang diletakkan sebagai standard dalam industri pembinaan Malaysia. Jadi kita mematuhi standard IBS ini yang digunakan dalam skop pembinaan projek ini. Sebab itu menggunakan teknologi IBS ini, memberikan lebih efisien dalam pembinaan, menjimatkan masa, memudahkan kerja dan sebagainya,” katanya.

Untuk rekod, projek ini telah siap sepenuhnya pada 28 April tahun ini dengan kos pembinaan sebanyak RM289.2 juta dan kos peralatan hospital sebanyak RM50.8 juta.

Bangunan Tambahan Hospital Miri ini terletak di kawasan seluas 14.53 ekar dan turut dibina ialah 900 tempat letak kenderaan, 300 tempat letak motosikal dan lain-lain kemudahan berkaitan. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan