Search
Close this search box.
Polis telah menerima laporan dan sedang menjalankan siasatan berhubung satu hantaran Facebook Kelab Penyokong PAS Malaysia yang mengaitkan Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail dalam tuduhan rasuah terhadap individu. Foto HRH Crown Prince of Johor (FB)

Tuduhan rasuah: Polis siasat hantaran Facebook kaitkan Tunku Mahkota Ismail

ByBernama

JOHOR BAHRU, 30 Jun: Polis telah menerima laporan dan sedang menjalankan siasatan berhubung satu hantaran Facebook Kelab Penyokong PAS Malaysia yang mengaitkan Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail dalam tuduhan rasuah terhadap individu.

Ketua Polis Johor CP M Kumar berkata hantaran itu mendakwa Tunku Mahkota Ismail mengatakan Pengarah Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin meminta rasuah berjumlah RM20 juta daripada Qatar Holdings, pada 28 Jan tahun lepas.

Kumar berkata laporan berhubung dakwaan itu dibuat di Balai Polis Bandar Penawar, Kota Tinggi kira-kira 4.05 petang, semalam.

“Siasatan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian Pendakwaan/Undang-Undang Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Kes masih di peringkat siasatan dan orang ramai dinasihatkan agar menjadi pengguna media sosial yang bijak dan tidak menggunakan platform tersebut dengan menyalahi undang-undang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata tindakan tegas akan dikenakan terhadap mana-mana pihak yang membuat hantaran, menularkan ataupun berkongsi maklumat berbaur hasutan, fitnah dan palsu sehingga boleh menjejaskan ketenteraman awam serta keselamatan negara.

Menurut Kumar hantaran bertajuk ‘TMJ dah bersuara, takkan PMX masih senyap?’ boleh diakses di pautan https://www.facebook.com/share/p/ng2tb1hMJqScCj41/?mibextid=K35XfP.

Semalam, Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi dilapor berkata Johor melihat isu itu sebagai satu cubaan hasutan jahat dalam menjatuhkan institusi diraja dan kerajaan negeri telah membuat laporan polis berhubung perkara berkenaan. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan