Search
Close this search box.
Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berucap pada Malam Gala Ulang Tahun ke-25 Curtin University di Miri, malam tadi. Foto TVS

Kos penghasilan hidrogen dapat dikurangkan lagi

ByFebbright James

MIRI, 30 Jun: Kos penghasilan tenaga hidrogen dijangka dapat dikurangkan lagi berbanding 30 kilowatt untuk satu kilogram hidrogen pada masa ini.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata kemungkinan itu adalah berdasarkan maklumat diterimanya daripada pakar dari Petronas, Dr Collin Patrick, seorang anak Sarawak.

“Apabila proses (penghasilan hidrogen) murah, baharulah kita dapat menghasilkan hidrogen kerana kita memiliki sumber air yang banyak.

“Kita ada kelebihan itu dan apa yang kita perlukan (untuk menghasilkan hidrogen dengan kos lebih murah) adalah teknologi,” katanya berucap pada Malam Gala Ulang Tahun ke-25 Curtin University di sini, malam tadi.

Kos menghasilkan hidrogen menggunakan Teknologi Linde pada mulanya sangat tinggi sehingga memerlukan 60 kilowatt kuasa untuk menghasilkan satu kilogram hidrogen.

Selepas itu, Kerajaan Sarawak mula mencari rakan kongsi untuk membuat kajian iaitu menerusi kerejasama dengan Petronas di Bangi, jelasnya.

Setelah kajian dibuat mengenai proses elektroliser, kos pengeluaran dapat dikurangkan daripada 60 kilowatt kepada 40 kilowatt.

Mengimbas kembali permulaan dalam meneroka tenaga hidrogen sebagai pengganti tenaga bahan api fosil, beliau berkata inisiatif berkenaan menimbulkan keraguan sama ada Sarawak mampu menghasilkan hidrogen.

“Kita bersyukur sebab kita akan menjadi pusat  pengeluar hidrogen di rantau ini dan menjelang 2027 kita akan membekalkan membekalkan 240,000 tan hidrogen ke Jepun dan Korea.

“Tetapi kita perlu menyimpan 9,000 tan sebab ART kita menggunakan hidrogen,” jelasnya.

Menurutnya, dengan kedudukan Sarawak sebagai negeri pertama mengeluar hidrogen, ia telah menarik banyak pihak dari luar yang ingin mempelajari teknologi hidrogen.

“Misalnya, baru-baru ini ada sekumpulan dari Johor datang belajar dengan kita. Kini Sarawak sudah mengajar orang, dulu kita yang minta ajar. Inilah pentingnya teknologi,” katanya.

Abang Johari berkata, inisiatif Sarawak dalam membangunkan tenaga boleh diperbaharui dan teknologi hijau terus mendapat perhatian daripada pelbagai pihak termasuk beberapa negeri di Malaysia dan negara di Asia.

Sehubungan itu, beliau berkata kerajaan komited ke arah merealisasikan hasrat untuk menjadi pembekal tenaga di rantau Asia dengan menghasilkan pelbagai sumber tenaga termasuk hidrogen, solar dan hidroelektrik.

“Sebelum ini saya ada melawat ke Batang Ai untuk melihat sendiri keberkesanan tenaga solar. Seperti yang kita tahu bahawa Batang Ai seluas 8,500 hektar dan kita telah menjalankan eksperimen untuk meliputi tiga peratus permukaan air dengan solar terapung yang kini menghasilkan 50 megawatt.

“Saya telah membuat kiraan, sekiranya kita meliputi permukaan air tersebut sebanyak 60 peratus dengan solar dan hidro yang menjadi bateri hibrid, kawasan tersebut mampu menghasilkan 200,000 megawatt.

“Jumlah ini belum termasuk sekiranya kita melaksanakan juga di empangan Murum, Baleh dan Bakun,” katanya.

Katanya, usaha ini akan dapat menjadikan Sarawak pembekal tenaga kepada negara jiran termasuk Singapura dengan maksimum satu gigawatt.

“Kita mampu menjadi ‘bateri’ dan akan mengeksport tenaga ke Singapura. Semenanjung Malaysia juga memerlukan tenaga elektrik. Tenaga ini akan menjadi enjin ekonomi kita kerana orang akan datang ke sini (Sarawak) untuk mendapatkan tenaga.

“Apabila kita ada tenaga, sudah tentu kita memerlukan pakar-pakar dan inilah peranan Curtin University untuk melahirkan orang yang tepat untuk Sarawak,” ujarnya.

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan