Search
Close this search box.
FTA EU-Malaysia perlu dihidupkan semula, tumpuan kepada semikonduktor: EU-ABC. Foto hiasan Envato

FTA EU-Malaysia perlu dihidupkan semula, tumpuan kepada semikonduktor: EU-ABC

ByBernama

KUALA LUMPUR, 30 Jun: Perjanjian perdagangan bebas (FTA) Malaysia-Kesatuan Eropah (EU) perlu dihidupkan semula dengan menawarkan prospek kerjasama yang meluas, melebihi daripada aspek pertikaian minyak sawit yang berlarutan, terutama dalam sektor semikonduktor.

Bercakap kepada Bernama baru-baru ini, Pengarah Eksekutif Majlis Perniagaan EU-Asean (EU-ABC) Chris Humphrey menekankan aspirasi Malaysia untuk muncul sebagai peneraju semikonduktor Asean manakala EU meneroka peluang pelaburan.

“Perdagangan Malaysia-EU telah melepasi 50 juta euro (1 euro = RM5.03), meletakkan Malaysia sebagai antara tiga rakan dagang utama EU di Asia Tenggara.

“Kami berhasrat melaksanakan FTA memandangkan ini akan membantu bukan sahaja isu tarif malah halangan bukan tarif, perolehan kerajaan dan aspek lain yang berkaitan,” katanya.

Humphrey berkata FTA Malaysia-EU akan meningkatkan keyakinan daripada perniagaan Eropah, menunjukkan Malaysia terbuka kepada perdagangan dan pelaburan.

Beliau berkata walaupun Malaysia mempunyai matlamat untuk tampil sebagai hab semikonduktor Asia Tenggara, Eropah sentiasa memburu pasaran baharu di peringkat global.

“Saya berpandangan bahawa ia akan menjadi tempat yang sesuai untuk kami melabur, dan dengan terdapatnya FTA, saya yakin angkanya akan menjadi lebih baik,” katanya.

Mengenai pertikaian minyak sawit, Humphrey berkongsi perkembangan dengan pasukan petugas bersama melibatkan Indonesia, Malaysia dan EU, dan perbincangan berterusan mengenai Peraturan Penebangan Hutan Eropah.

“Saya yakin semua isu ini (pendirian yang berbeza mengenai minyak sawit) boleh dihentikan. Jika anda melihat rundingan FTA yang sedang dilaksanakan antara EU dan Indonesia, mereka telah berjaya meletakkan pertikaian ini kepada sebelah pihak.

“Mereka akan berurusan di landasan berbeza sebaik sahaja mereka meneruskan rundingan perdagangan. Saya lihat tiada sebab untuk Malaysia tidak boleh melaksanakan perkara yang sama,” kata Humphrey.

Rundingan FTA Malaysia-EU dimulakan pada 5 Okt 2010 dengan melibatkan lapan pusingan rundingan sehingga September 2012.

Bagaimanapun ia ditangguhkan buat sementara waktu sehingga kedua-dua pihak mempunyai mandat yang baru atau mendapat fleksibiliti yang bersesuaian bagi menyambung semula dan memuktamadkan rundingan.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz baru-baru ini turut berkongsi perkembangan berkaitan FTA Malaysia-EU yang sedang dipertimbang dan berkata : “Kami sedang meneliti syarat-syaratnya.”

Di samping itu, Malaysia juga telah meratifikasi dan melaksanakan dua perjanjian perdagangan bebas serantau terbesar dunia — Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) serta Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP).

Memberikan FTA EU-Vietnam sebagai contoh, Humphrey berkata hubungan antara Malaysia dan EU juga berpeluang ke arah sedemikian.

FTA EU-Vietnam dilaporkan telah meningkatkan daya saing serantau Vietnam, dengan eksport ke Eropah meningkat daripada 35 bilion euro pada 2019 kepada lebih 48 bilion euro pada 2023.

Sementara itu, Humphrey semasa mengulas mengenai dasar ekonomi Malaysia, menyambut baik inisiatif mesra pelabur seperti Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beikutan peranan Malaysia sebagai pengerusi Asean tahun depan, Humphrey menggesa perkongsian global yang lebih erat, terutama memandangkan syarikat Eropah yang mahukan kepelbagaian rantaian bekalan.

Laman web rasmi EU menamakan Malaysia sebagai rakan kongsi utama, dengan Malaysia sebagai rakan dagang kedua terbesar EU di Asia Tenggara manakala EU sebagai rakan dagang keempat terbesar Malaysia.

Pada 2022, EU mengimport barangan bernilai 35.6 bilion euro (RM182 bilion) dari Malaysia dan mengeksport barangan bernilai 14.7 bilion euro (RM72 bilion) ke Malaysia.

Selain perdagangan, EU menyokong projek kerjasama yang memberi manfaat kepada Malaysia dalam bidang pendidikan, hak asasi manusia dan pembangunan mampan. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan