Search
Close this search box.
Datuk Amar Douglas Uggah Embas pada Majlis Perasmian Program Jelajah Integriti di Spaoh pada Jumaat.

Lapor jika pelaksanaan projek tidak sempurna

SPAOH, 29 Jun: Pemimpin masyarakat tidak harus teragak-agak untuk melaporkan sebarang ketidaksempurnaan dalam pelaksanaan projek pembangunan di kawasan mereka.

Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah berkata mereka harus segera berbuat demikian jika merasakan pelaksanaannya lemah atau tidak dilakukan mengikut spesifikasi.

“Buat aduan kepada kami wakil rakyat anda, JKR dan pihak berkuasa lain yang berkaitan.

“Atas kapasiti saya sebagai Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan juga, saya berharap tidak ada lagi projek sakit atau tertangguh,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Jelajah Integriti Daerah Kecil Spaoh di Dewan Masyarakat Spaoh di sini, semalam.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman) Datuk Dr Juanda Jaya dan Ahli Parlimen Betong Dr Richard Rapu turut hadir pada majlis itu.

Uggah berkata, matlamat kerajaan adalah untuk memastikan projek dapat memberi manfaat kepada rakyat.

Beliau menasihatkan mereka mendapatkan ‘Bil of Qualities’ daripada pihak berkuasa pelaksana supaya mereka mengetahui spesifikasi sebenar dan butiran lain berkaitan projek tersebut.

Mengenai pemimpin masyarakat, Uggah berkata mereka perlu sentiasa mempunyai nilai moral yang tinggi, berpegang pada kata-kata dan menjadi contoh teladan terutama kepada golongan belia.

“Kita tidak mahu situasi yakni integriti anda dipersoalkan oleh pengikut anda.

“Pada masa sama, kita tidak mahu hak rakyat kita dipandang ringan oleh mereka yang mempunyai agenda tersendiri,” tegasnya.

Sementara itu, Uggah turut menzahirkan kebimbangannya terhadap kejadian penyalahgunaan dadah yang tinggi dan masalah perjudian dalam talian yang telah menular ke kawasan luar bandar.

“Masalah-masalah ini sudah lama timbul dan masih belum dapat dibanteras. Jika dibiarkan, ia boleh menjadi isu sosial yang besar.

“Kita akan kehilangan tenaga kerja yang berpotensi dalam kalangan belia kita. Saya harap pihak berkuasa yang berkaitan boleh memantau mereka,” katanya. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan