Search
Close this search box.
Dato Sri Julaihi Narawi menunjukkan poster Kempen Anti Vandalisme Terhadap Kemudahan Utiliti dan Telekomunikasi. Foto Radzi Ahmad (TVS)

Kempen anti vandalisme tangani kerosakan infrastruktur utiliti dan telekomunikasi

ByRadzi Ahmad

KUCHING, 28 Jun: Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak bakal melancarkan Kempen Anti Vandalisme Terhadap Kemudahan Utiliti dan Telekomunikasi pada 3 Julai 2024.

Menterinya, Dato Sri Julaihi Narawi berkata kempen ini bertujuan memberi kesedaran kepada masyarakat tentang kesan buruk vandalisme terhadap kemudahan utiliti dan telekomunikasi.

“Sebagai contoh, kerosakan kabel elektrik akibat kecurian tembaga boleh menyebabkan gangguan bekalan elektrik yang serius, bukan sahaja menyebabkan kegelapan tetapi juga menjejaskan tekanan air dan perkhidmatan telekomunikasi di kawasan luar bandar,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi temubual eksklusif TVS di pejabat Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi, LCDA Tower di sini pada Jumaat.

Jelasnya, kempen diadakan berikutan aktiviti vandalisme terhadap kemudahan utiliti seperti bekalan elektrik, air, telekomunikasi dan gas di Sarawak semakin meningkat.

Menurut Julaihi, kes vandalisme terhadap aset telekomunikasi meningkat 283 peratus dari 222 kes pada 2022 kepada 1,070 kes pada 2023, manakala kes vandalisme terhadap aset bekalan elektrik meningkat sebanyak 42 peratus, iaitu dari 187 kes kepada 266 kes dalam tempoh yang sama.

Jelasnya lagi, jumlah nilai kerugian akibat vandalisme pada 2023 hampir mencecah RM20 juta.

“Kerosakan ini memerlukan peruntukan tambahan untuk membaiki atau mengganti aset yang rosak dan ia merupakan satu kerugian.

“Ini adalah wang rakyat yang sepatutnya digunakan untuk pembangunan,” ujarnya.

Untuk menangani isu ini, beliau juga menyatakan keperluan penguatkuasaan undang-undang yang lebih tegas, termasuk menjatuhkan hukuman yang berat kepada pesalah.

“Apabila kita menguatkuasakan undang-undang, kita akan memberi pengajaran kepada mereka yang melakukan vandalisme ini.

“Jika peruntukan undang-undang yang sedia ada tidak mencukupi, saya berpendapat undang-undang perlu dipinda untuk memastikan tindakan yang lebih tegas boleh diambil,” katanya.

Bercakap mengenai kempen anti vandalisme tersebut, Julaihi berkata ia akan dilancarkan secara besar-besaran dengan kerjasama pelbagai agensi dan jabatan, termasuk pihak polis.

“Pihak polis akan memberi ceramah khas dan kita juga akan mengadakan pameran vandalisme yang diharap dapat memberi gambaran kesan buruknya terhadap pihak yang hadir, selain aktiviti lain,” ujarnya.

Julaihi menekankan bahawa kempen ini merupakan usaha berterusan untuk memupuk kesedaran dalam kalangan masyarakat yakni kempen susulan akan diadakan di seluruh Sarawak pada masa akan datang.

“Ia mesti dilakukan secara berterusan supaya dapat diketahui oleh semua lapisan masyarakat di semua tempat di seluruh Sarawak sama ada di bandar atau luar bandar,” jelasnya.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada pihak media yang memain peranan penting dalam usaha membanteras vandalisme ini.

“Saya merayu kepada rakan-rakan media supaya menyebar luas kempen anti-vandalisme ini supaya dapat sampai kepada semua lapisan masyarakat,” tambahnya.

Justeru, beliau berharap pelancaran kempen anti vandalisme ini dapat memberi kesedaran yang mendalam kepada masyarakat tentang pentingnya menjaga kemudahan awam untuk kesejahteraan semua.

Kempen yang dijangka akan dihadiri 3,000 orang peserta itu akan diadakan pada 3 Julai di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) dan akan dirasmikan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan