Search
Close this search box.
Ahli Dewan Undangan Negeri Meluan, Rolland Duat Jubin bersama penerima bantuan BBKSL dan AFF di Jabatan Pertanian Julau. Foto TVS

Julau mampu lahir lebih ramai jutawan lada

JULAU, 28 Jun: Daerah Julau berupaya melahirkan lebih ramai pekebun lada berstatus jutawan berikutan peningkatan pasaran dan permintaan terhadap komoditi itu sejak kebelakangan ini, kata Ahli Dewan Undangan Negeri Meluan, Rolland Duat Jubin.

Bagaimanapun katanya, harapan itu juga bersandar pada sokongan kerajaan melalui bantuan kepada penggiat industri berkenaan selain menaik taraf kemudahan yang berkaitan terutama jalan raya bagi memudahkan urusan pengeluaran hasil pertanian.

Malah beliau juga berharap kerajaan mewujudkan Pusat Pengumpulan, Pemprosesan Dan Pembungkusan Produk-Produk Pertanian (CPPC) di Julau.

“Bagi tujuan itu, saya telah memohon peruntukan sebanyak RM5 juta untuk menaik taraf jalan sawit dan jalan lada demi membantu para petani kita.

“Kalau kita lihat jalan keluar masuk mereka ke kawasan kebun sangat teruk, tapi saya kagum walaupun serba kekurangan mereka tetap berusaha dengan sebaik mungkin. Justeru, sebagai wakil rakyat, saya ingin membantu dan memohon peruntukan kerajaan negeri bagi tujuan itu (menaik taraf jalan),” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas menyempurnakan bantuan lada kelapa sawit dan lada (BBKSL), Program Fasilitasi Pertanian (AFF) DUN Meluan di Jabatan Pertanian Julau, hari ini.

Berdasarkan rekod sebelum ini, kawasan Meluan pernah melahirkan seramai 18 orang jutawan lada dalam satu-satu masa ketika harga komoditi itu meningkat mendadak.

Malah katanya, sebahagian besar pekebun lada yang berjaya memiliki aset sendiri melalui pembelian secara tunai sama ada dalam bentuk kenderaan atau rumah kediaman.

“Setakat ini, Julau khususnya Meluan termasuk daerah Betong masih mengekalkan status sebagai pengeluar lada terbesar dan berkualiti tinggi di Sarawak.

“Saya amat berharap permohonan yang pernah dikemukakan dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak itu mendapat pertimbangan sewajarnya dan diluluskan segera,” katanya.

Dalam pada itu, Kerajaan Sarawak melalui bantuan BBKSL dan AFF memperuntukkan RM580,612 sebagai bantuan kepada seramai 441 orang pekebun lada dan sawit di Meluan tahun ini. – TVS

 

 

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan