Search
Close this search box.
Rainforest Youth Summit (RAYS) 2024 dianjurkan pada 26 hingga 28 Jun 2024 yang melibatkan 1,000 peserta dari 10 negara-negara ASEAN. Foto Amirah Shawel (TVS)

RAYS: Dasar kelestarian alam sekitar, pergiat libatkan anak muda Sarawak

ByAmirah Shawel

KUCHING, 27 Jun: Dasar kelestarian alam sekitar yang dibangunkan oleh Kerajaan Sarawak berada pada landasan yang tepat, namun diingatkan perlu lebih bersifat inklusif.

Presiden Sarawak Eco Warriors, Mark Liao berkata dasar kelestarian alam sekitar yang lebih inklusif membantu dalam merangka penyelesaian yang lebih terangkum dan mampan.

Menurutnya, usaha itu melibatkan kesemua pihak yang datang daripada latar belakang dan budaya yang berbeza.

“Sumbangan dari aspek pengalaman dan ilmu daripada mereka berbeza latar belakang ini akan memberikan kita gambaran yang lebih besar tentang sesuatu isu dan memudahkan kerajaan untuk merangka solusi yang holistik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui TVS pada Rainforest Youth Summit (RAYS) 2024 di Museum Budaya Borneo di sini, hari ini.

Presiden Sarawak Eco Warriors, Mark Liao ketika ditemui TVS di RAYS 2024 pada 27 Jun 2024. Foto Amirah Shawel (TVS)

Mark menambah penglibatan anak muda juga diperlukan serta harus dipergiatkan dalam pembangunan dasar dan tadbir urus.

Senada dengannya, Ketua Pemuliharaan, Program Pemuliharaan Sarawak di WWF-Malaysia, Cynthia Chin berkata penglibatan golongan belia dalam pembangunan dasar alam sekitar memberikan mereka peluang untuk terlibat sama merangka masa depan yang mampan.

Ketua Pemuliharaan, Program Pemuliharaan Sarawak di WWF-Malaysia, Cynthia Chin ketika ditemui TVS di RAYS 2024 pada 27 Jun 2024. Foto Amirah Shawel (TVS)

Menurutnya, program Rainforest Youth Summit misalnya, diyakini sebagai usaha yang baik daripada Kerajaan Sarawak untuk memberi ruang kepada golongan itu untuk menyumbang idea bagi menyelesaikan isu serantau.

“Anak-anak muda ini adalah daripada pelbagai latar berlakang dan memiliki idea, isu dan topik yang ingin dibicarakan. Dengan platform ini, mereka juga memikirkan bagaimana ingin bekerjasama dengan kerajaan tempatan dan membina hidup yang lebih baik,” katanya.

Program Rainforest Youth Summit dianjurkan pada 26 hingga 28 Jun 2024 yang melibatkan seramai 1,000 peserta dari 10 negara-negara ASEAN.

Program itu menghimpunkan golongan belia, pakar, bersama sektor awam dan swasta, serta masyarakat sivil dari seluruh dunia untuk bersama menetapkan agenda bagi membina masa depan yang mampan untuk semua. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan