Search
Close this search box.
Tunku Tun Aminah Sultan Ibrahim (tiga, kanan) berkenan menyampaikan sijil kepada penerima Nick Lim Chen- Yu (tiga,kiri) pada Program Minggu Latihan Kebangsaan di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) hari ini. Turut hadir Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong (dua,kiri). Foto Bernama

Peruntukan RM2 juta tingkat bakat OKU, padanan pekerjaan – Sim

ByBernama

KUALA LUMPUR, 27 Jun: Kementerian Sumber Manusia akan memperuntukkan RM2 juta kepada Human Resource Development Corporation (HRD Corp) untuk melaksanakan program peningkatan bakat Orang Kurang Upaya (OKU) bagi tempoh setahun.

Menteri berkenaan Steven Sim Chee Keong berkata keputusan itu susulan prestasi ditunjukkan program perintis yang dilaksanakan pada tahun lepas melibatkan 30 OKU dengan 15 daripada mereka berjaya mendapat pekerjaan.

“Program ini untuk memberikan mereka latihan kemahiran spesifik yang sesuai dengan setiap OKU termasuk individu neurodiversiti dan kedua untuk memadankan mereka kepada pekerjaan sesuai,” katanya kepada pemberita pada program Neurodiversity Inclusion Impact di sini hari ini.

Program yang diadakan bersempena Minggu Latihan Kebangsaan (NTW) 2024 itu diserikan dengan keberangkatan Tunku Tun Aminah Sultan Ibrahim.

Sim berkata program peningkatan bakat OKU itu selaras dengan konsep MADANI yang memastikan rakyat Malaysia tanpa mengira keadaan fizikal, sosial, kaum dan agama tidak dipinggirkan dalam mencapai aspirasi mereka.

Ditanya jumlah OKU yang bakal mendapat manfaat daripada program itu, Sim berkata ia agak sukar ditentukan berikutan setiap program latihan harus direka secara spesifik mengikut golongan sasaran.

Dalam pada itu Sim berkata peruntukan itu juga adalah satu pengumuman awal dan kementerian akan melihat keberkesanan program berkenaan dari semasa ke semasa.

Beliau turut mengalu-alukan penyertaan dan kerjasama syarikat korporat untuk menjayakan program itu dengan menyediakan peluang pekerjaan dan latihan.

Mengenai NTW 2024 yang berlangsung dari 24 hingga 30 Jun ini, Sim berkata HRD Corp telah menganjurkan lebih 65,000 kursus latihan percuma dengan 280,000 pendaftaran hanya dalam tiga hari penganjurannya.

NTW 2024 akan berakhir dengan latihan ekstravaganza selama dua hari di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 29 dan 30 Jun ini.

Ia juga bakal dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti seperti Pancasains oleh Petrosains, pengalaman kenderaan elektrik (EV) oleh Proton, klinik sukan, pertandingan Lego, pesta buku Bookxcess dan Pesta Kerjaya MyFutureJobs. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan