Search
Close this search box.
Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz menjawab soalan di Dewan Rakyat, hadir ini. Foto, Jabatan Penerangan Malaysia.

Dewan Rakyat: Tengku Zafrul jelaskan BlackRock miliki aset RM27.5 bilion di Malaysia

BySalasiah Safian

KUALA LUMPUR, 27 Jun: BlackRock yang menapak di Malaysia sejak 1990-an memiliki aset keseluruhan mencecah RM27.5 bilion, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Beliau berkata, firma pelaburan global itu juga memiliki pelaburan ekuiti di 100 syarikat tersenarai di Malaysia dengan tiga yang terbesar merupakan institusi perbankan.

“Secara keseluruhan aset mereka (sebanyak) RM20.5 bilion dalam pasaran saham di Bursa Malaysia dan sekitar RM7 bilion dalam bon kerajaan dan korporat di Malaysia,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Lim Guan Eng (Pakatan Harapan – Bagan) yang ingin tahu jumlah pelaburan BlackRock atau syarikat yang mempunyai kaitan dengannya di Malaysia.

Sementara itu, Tengku Zafrul memaklumkan BlackRock juga mempunyai pelaburan di dalam pasaran bon terbitan kerajaan seperti Malaysia Sukuk Global Berhad, Export-Import Bank of Malaysia Berhad, Malaysia Wakala Sukuk Berhad, Petroliam Nasional Berhad dan Malaysia Sovereign Sukuk Berhad.

“BlackRock turut mempunyai kepentingan pelaburan dalam Tenaga Nasional Berhad sebanyak RM8.6 juta, Metal Aluminium sebanyak RM625 juta dan CelcomDigi sebanyak RM526 juta,” jelasnya.

Selain itu, BlackRock merupakan pemegang saham bagi beberapa syarikat multinasional besar yang beroperasi di Malaysia termasuk Microsoft, Boeing, Intel dan Texas Instruments.

“Syarikat-syarikat seperti Microsoft, Boeing, Intel dan Texas Instruments yang mempunyai pemilikan saham oleh BlackRock ini menyumbang kepada pembangunan industri dan negeri melalui projek pelaburan yang dijalankan di Malaysia.

“Ini termasuk Intel yang menyumbang kepada pertumbuhan sub-sektor semikonduktor di Pulau Pinang, Infineon di Melaka dan Kedah, Texas Instruments dalam industri elektrikal dan elektronik di Melaka dan Kuala Lumpur dan subsidiari Boeing, iaitu Aerospace Composites Malaysia Sdn. Bhd. (ACM) dalam industri aeroangkasa di Kedah,” ujarnya. -TVS.

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan