Search
Close this search box.
Hubungan baik yang terjalin dengan Kyrgyzstan menyebabkan negara itu meminta bantuan Malaysia merancang pembangunan ekonominya. Foto, AFP.

Dewan Rakyat: Kyrgyzstan minta bantuan Malaysia rancang pembangunan ekonominya

ByAdlina Rahman

KUALA LUMPUR, 27 Jun: Hubungan baik dengan Kyrgyzstan menyebabkan negara itu meminta bantuan Malaysia untuk merancang pembangunan ekonominya.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, permintaan itu disampaikan ketika lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke sana pada bulan lepas.

Jelas Mohamad, Kyrgyzstan yang mencapai kemerdekaan daripada Soviet Union pada 1991 ingin belajar daripada Malaysia untuk membangunkan negara berkenaan memandangkan mereka masih mengamalkan kaedah lama seperti ketika dijajah yang menyebabkan pertumbuhan ekonominya kurang memberangsangkan.

“Kementerian Luar (telah) beri cadangan beberapa nama kepada pejabat Perdana Menteri untuk pastikan permohonan mereka meminta kita hantar seorang penasihat untuk merancang pembangunan ekonominya dapat dilaksanakan dengan segera.

“(Sebenarnya ketika ini) Kementerian Luar mempunyai Malaysian Technical Cooperation Programme (MTCP) yang melatih pegawai kerajaan serta diplomatik mereka (Kyrgyzstan), ” katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Aminolhuda Hassan (Pakatan Harapan -Sri Gading) yang ingin tahu manfaat diperolehi negara susulan lawatan rasmi Perdana Menteri ke Kyrgyzstan, Kazakhstan dan Uzbekistan baru – baru ini.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata, negara itu membuka pintu perdagangan yang luas kepada Malaysia termasuk dalam sektor pelancongan.

“Mereka tawarkan syarikat penerbangan Malaysia termasuk Malaysia Airlines, AirAsia dan Batik Air boleh mengambil penumpang di negara berkenaan untuk ke destinasi lain.

“Kita juga diminta tingkatkan jumlah penerbangan di Kazakstan dan Uzbekistan kerana ramai rakyatnya belajar di Malaysia,” katanya.

Sementara itu beliau menambah hubungan Malaysia dengan ketiga -tiga negara itu  juga membuka peluang untuk syarikat tempatan meneroka sektor cari gali di sana.

Ini kerana katanya ketiga-tiga negara itu kaya emas, biji timah dan tembaga selain memiliki rizab simpanan petroleum dan gas asli yang besar.

“Pemimpin negara – negara berkenaan menjemput Malaysia untuk meneroka bidang itu.

“Ketika ini perdagangan memihak kepada Malaysia kerana mereka banyak mengimport barangan kita dan ini boleh menjadi pintu untuk kita meneroka kawasan yang lebih besar di Asia Tengah,” katanya. -TVS.

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan