Search
Close this search box.
Dewan Rakyat dimaklumkan setakat ini seramai 6,933 pegawai perubatan mendapat tajaan untuk menjalani latihan kepakaran perubatan. Foto hiasan, Envato.

Dewan Rakyat: Kerajaan belanja RM142.4 juta setahun lahirkan doktor pakar

BySalasiah Safian

KUALA LUMPUR, 27 Jun: Kerajaan memperuntukkan RM142.4 juta setahun untuk melaksanakan Program Sarjana Perubatan yang dikendalikan oleh institusi pendidikan tinggi tempatan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, kerajaan juga membelanjakan RM10 juta untuk kos Latihan Kepakaran Laluan Parallel.

Katanya, setakat ini seramai 6,933 pegawai perubatan yang mendapat tajaan untuk menjalani latihan kepakaran perubatan dengan seramai 6,142 merupakan pegawai perubatan yang menjalani Sarjana Perubatan.

“(Seramai) 791 orang pula merupakan pegawai perubatan yang menjalani Latihan Kepakaran Laluan Parallel.

“Selain daripada itu, terdapat seramai 2,622 lagi pegawai perubatan yang sedang menjalani Latihan Kepakaran Laluan Parallel tanpa tajaan,” katanya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi (Perikatan Nasional – Kuala Langat) yang meminta menteri menyatakan perbezaan program latihan kepakaran daripada universiti tempatan dan program latihan kepakaran luar negara (Parallel Pathway) secara umum dan khusus bagi bidang kardiotorasik.

Sementara itu menjawab mengenai bidang pembedahan kardiotorasik, Dzulkefly memaklumkan, kelayakan yang digunakan untuk Latihan Kepakaran Laluan Parallel adalah berdasarkan Fellowship of the Royal College of Surgeons of Edinburgh in Cardiothoracic Surgery yang dianugerahkan oleh Royal College of Surgeons of Edinburgh.

“Tempoh latihan bagi program tersebut adalah selama enam tahun latihan (dengan) lima tahun menjalani latihan dalam negara dan setahun di luar negara dengan latihan klinikal dijalankan secara kombinasi di pusat-pusat jantung di Kementerian Kesihatan (KKM) dan Institut Jantung Negara (IJN) serta latihan sangkutan di luar negara iaitu di United Kingdom,” katanya. -TVS.

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan