Search
Close this search box.
Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang Tun Dato’ Seri Utama Ahmad Fuzi Abdul Razak ketika menghadiri Forum Ekonomi Pulau Pinang 2024 di Auditorium Penang Institute di sini semalam. Foto PenangInstitute (IG)

TYT Pulau Pinang puji strategi ekonomi, mahu negeri contohi kejayaan Sarawak

GEORGE TOWN, 26 Jun: Kejayaan Kerajaan Sarawak dalam memakmurkan ekonomi wilayah ini sehingga diiktiraf Bank Dunia sebagai negeri berpendapatan tinggi di Malaysia pada tahun lalu dikagumi negeri Pulau Pinang.

Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tun Dato’ Seri Utama Ahmad Fuzi Abdul Razak memuji inisiatif pemikiran ke hadapan Sarawak yang telah menyumbang dengan ketara kepada pertumbuhan ekonomi wilayah ini dan dijadikan sebagai penanda aras untuk pembangunan wilayah.

“Saya telah lama mengagumi pendekatan proaktif Kerajaan Sarawak dalam memacu pertumbuhan ekonomi melalui idea dan inisiatif yang inovatif.

“Antaranya pengambilan semula Pelabuhan Bintulu daripada kerajaan pusat, Dana Kekayaan Masa Depan Berdaulat, pengambilalihan syarikat penerbangan MASwings, pelaburan saham dalam Affin Bank, penanaman pokok sebanyak 35 juta sejak 2021 serta mahu menjadi tuan rumah bersama Putrajaya dalam Sukan Asia Tenggara (SEA Games) 2027 dan ia merupakan satu visi yang besar bagi memakmurkan wilayah itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Forum Ekonomi Pulau Pinang 2024 di Auditorium Penang Institute di sini semalam.

Turut hadir juga Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital Zairil Khir Johari dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan) Datu Dr Muhammad Abdullah bin Zaidel.

Sehubungan itu, beliau mahu Pulau Pinang menjadikan kejayaan Kerajaan Sarawak sebagai sumber inspirasi mereka kerana ia dilihat penting dalam membangunkan strategi yang sejajar dengan kekuatan dan peluang uniknya.

Tambahnya, beliau percaya jika negerinya menumpukan pada inovasi, kemampanan dan pelaburan strategik, Pulau Pinang boleh mengukir laluan sendiri ke arah kemakmuran ekonomi.

“Saya percaya bahawa walaupun mungkin tidak praktikal atau perlu bagi Pulau Pinang untuk mengikuti inisiatif yang sama secara membuta tuli, ia mungkin berguna untuk negeri mendapat inspirasi secukupnya untuk membangunkan ‘niche’ dan identitinya sendiri untuk melindungi kepentingan jangka panjangnya sendiri di Malaysia,” katanya lagi.

Tun Ahmad Fuzi percaya Pulau Pinang kini berada di landasan yang tepat dengan rekod prestasi yang terbukti serta kerajaan yang stabil yang berdedikasi untuk mengejar pembangunan ekonomi yang pesat.

Namun begitu, menurutnya banyak lagi perkara yang boleh dilakukan untuk mencapai kejayaan yang lebih cemerlang walaupun menghadapi pelbagai cabaran pada masa kini. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan