Search
Close this search box.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh bergambar bersama pelajar-pelajar pada majlis perasmian TRACE 2024 di UNIMAS. Foto TVS

TRACE platform peluang kerjaya terbesar di Borneo

KOTA SAMARAHAN, 26 Jun: Talent Recruitment and Career Exhibition (TRACE) 2024 berupaya menjadi platform kepada para pelajar, graduan dan pencari kerja untuk meneroka peluang pekerjaan serta membuka jalan untuk pertumbuhan kerjaya masa depan.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, acara ini sekali gus mengurangkan jurang dengan menyediakan satu ruang mempertemukan kedua-kedua majikan dan pekerja dalam satu platform yang interaktif.

Katanya lagi, penganjuran pameran kerjaya terbesar di Borneo oleh Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) turut menampilkan 77 pempamer terdiri daripada agensi kerajaan, bukan kerajaan dan swasta serta fakulti-fakulti di UNIMAS.

“Para pelajar, graduan dan pencari kerja berpeluang untuk meneroka peluang pekerjaan, menjalin hubungan dan membuka jalan untuk pertumbuhan kerjaya masa depan mereka.

“Acara ini juga menyediakan pelbagai peluang untuk mereka berinteraksi dengan majikan dan pemimpin industri untuk perbincangan bermakna dan merebut peluang untuk mempamerkan kemahiran, cita-cita dan kesediaan mereka untuk menghadapi cabaran baharu dalam alam pekerjaan.

“Ia juga merupakan platform strategik bagi syarikat yang mengambil bahagian untuk memperluas pembangunan bakat yang membentuk industri masa depan. Pelaburan mereka dalam bakat hari ini akan menjadikan mereka pemacu inovasi dan pertumbuhan mampan pada masa depan,” katanya.

Beliau berkata demikian melalui teks ucapan yang dibacakan oleh Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh pada majlis perasmian TRACE 2024 di UNIMAS, pada Rabu.

Mengulas lanjut, Tengah berkata, Kerajaan Sarawak komited untuk memupuk tenaga kerja yang berkemahiran, berdaya saing, dan berdaya tahan.

Komitmen tersebut termasuk perkongsian strategik dengan industri dan pihak berkepentingan untuk memenuhi keperluan pekerjaan semasa dan masa depan di Sarawak.

“Kemajuan teknologi dengan kebangkitan kecerdasan buatan (AI), kesalinghubungan global dan permintaan pasaran yang berubah-ubah telah mengubah secara drastik pasaran pekerjaan dan akibatnya, landskap dinamik ini memerlukan tenaga kerja yang dapat menyesuaikan diri, inovatif dan mahir.

“Oleh itu, inisiatif yang diambil oleh Kerajaan Sarawak termasuk perkongsian strategik dengan industri dan pihak berkepentingan untuk memenuhi keperluan pekerjaan semasa dan masa depan di Sarawak,” katanya. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan