Search
Close this search box.
Ketua Pegawai Eksekutif, Shariman Jamil ditemubual TVS di pejabat baharunya di HSL Tower pada Rabu. Foto Radzi Ahmad

SMD lancar Pusat Reka Bentuk Cip dan Akademi SMD pertama di Borneo

ByRadzi Ahmad

KUCHING, 26 Jun: Syarikat semikonduktor milik Kerajaan Sarawak Microelectronics Design (SMD) hari ini melancarkan Pusat Reka Bentuk Cip dan Akademi SMD, yang pertama seumpamanya di Borneo.

Ketua Pegawai Eksekutif SMD, Shariman Jamil berkata, dengan inisiatif terbaharu itu pihaknya menyasarkan untuk memupuk budaya kecemerlangan inovasi di pusat tersebut.

SMD usaha pupuk budaya kecemerlangan inovasi | TVS

Jelasnya, pusat ini akan membuka peluang untuk bakat-bakat baharu Sarawak untuk berada di barisan hadapan dalam industri ini.

“Ini adalah sebahagian daripada misi penting SMD untuk memajukan teknologi semikonduktor, dengan menyediakan mereka tempat kerja canggih seperti Pusat Reka Bentuk Cip dan Akademi SMD, supaya kita dapat menyasarkan dan memupuk budaya kecemerlangan inovasi di pusat reka bentuk cip SMD,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam temubual eksklusif bersama TVS di pejabat baharunya di HSL Tower di sini pada Rabu.

Menurutnya, Pusat Reka Bentuk Cip dan Akademi SMD boleh menampung sehingga 60 jurutera reka bentuk, dengan adanya dewan serbaguna ala teater untuk seminar, bengkel dan persidangan untuk pihak berkepentingan.

Tambah Shariman, bakal jurutera akan dilengkapi dengan alat dan pengetahuan yang diperlukan, untuk meneroka dan bekerjasama dengan rakan-rakan antarabangsa mereka di Jerman dan Belgium.

“Kita awalnya bekerja dengan rakan kongsi seperti Melexis dan juga X-Fab untuk menyusun dan mengembangkan kandungan industri, kemudian kita lengkapi mereka dengan peralatan industri untuk mereka mempunyai kemahiran dan pengetahuan.

“Oleh itu, kita (akan) terus meneroka kerjasama dengan rakan antarabangsa lain, dan memperluas kerjasama dengan institusi latihan tempatan dan universiti seperti CENTEXS, i-CATS, Sarawak Skills, Universiti Swinburne dan sebagainya,” katanya.

Akademi SMD menawarkan kursus profesional selama enam bulan dalam Domain Aplikasi, Reka Bentuk dan Pembangunan IC, dan Tenaga Pintar untuk graduan menguasai kemahiran mereka.

Terdahulu, Compound Semiconductor Applications (CSA) Catapult di Newport, South Wales, United Kingdom dan SMD menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU), menandakan hasrat SMD untuk menubuhkan pejabat di UK.

Pejabat luar negara ini bertujuan untuk membolehkan penciptaan idea bersama dan pembangunan produk sambil bekerja dengan akademia, industri dan kerajaan di UK dan Sarawak untuk membangunkan rangkaian bakat.

Dalam pada itu, Shariman menyatakan SMD berhasrat untuk melahirkan 500 profesional semikonduktor menjelang tahun 2030.

“Sejurus selepas kami mengumumkan aspirasi ini, kami memulakan kohort pertama yang terdiri daripada 20 pelatih siswazah dalam program latihan selama 6 bulan yang akan tamat pada bulan Ogos ini.

“Mereka kemudian akan terus bekerja dengan Melexis atau SMD,” jelasnya, sambil menambah bahawa kohort seterusnya akan bermula sejurus selepas itu pada bulan September tahun ini.

Untuk mencapai sasaran 500 profesional semikonduktor menjelang 2030 itu, katanya SMD menawarkan insentif menarik untuk bakat-bakat, termasuk pakej pampasan yang kompetitif.

“Kami juga menawarkan peluang pembangunan profesional berterusan supaya kakitangan kami dapat menjadi yang terbaik.

“Penting sekali, mereka akan diberi peluang untuk bekerja pada projek yang canggih,” jelas Shariman.

Tambahnya, SMD juga akan menekankan kerjasama dengan institusi akademik dan penyelidikan, sambil menggalakkan bakat juruteranya untuk berkongsi idea dan projek mereka secara dalaman bagi potensi paten dan pengkomersialan.

“Jadi ini adalah langkah yang sangat menggalakkan, terutamanya bagi mereka yang didorong oleh pengetahuan, reka bentuk dan aktiviti R&D,” katanya.

Shariman turut menekankan kualiti hidup yang tinggi di Sarawak untuk bakat jurutera yang ragu-ragu untuk berpindah ke Sarawak, kerana wilayah itu kaya dengan warisan budaya dan keindahan semula jadi selain dilengkapi dengan kemudahan moden.

“Kami ingin memastikan bahawa kami memanfaatkan kelebihan yang ada di Sarawak. Aspirasi kami sangat jelas, kami ingin menghasilkan cip yang direka dan dikeluarkan di Sarawak, jadi itulah jenama yang kami ingin promosikan.

“Bukan itu sahaja, kami juga boleh mengatakan cip ini direka dan dibangunkan oleh orang Sarawak, jadi itu adalah mesej yang sangat kuat,” katanya. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan