Search
Close this search box.
Singapura merampas S$6 bilion (S$1=RM3.47) yang dikaitkan dengan aktiviti jenayah dan pengubahan wang haram antara Januari 2019 dan Jun 2024. Foto hiasan Envato

Singapura rampas S$6 bilion hasil kegiatan jenayah, pengubahan wang haram sejak 2019

ByBernama

SINGAPURA, 26 Jun: Singapura merampas S$6 bilion (S$1=RM3.47) yang dikaitkan dengan aktiviti jenayah dan pengubahan wang haram antara Januari 2019 dan Jun 2024.

Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA), Kementerian Kewangan (MOF) dan Penguasa Kewangan Singapura (MAS) berkata daripada jumlah itu, S$416 juta telah dikembalikan kepada mangsa dan S$1 bilion telah dilucuthakkan kepada negara.

“Sebahagian besar bakinya dikaitkan dengan siasatan atau prosiding mahkamah yang sedang berjalan,”  menurut mereka dalam kenyataan bersama pada Rabu.

Singapura pada Rabu menerbitkan Strategi Pemulihan Aset Kebangsaan pertamanya, yang menggariskan pendekatan menyeluruh republik itu terhadap pemulihan dana dan aset haram daripada penjenayah serta pelucuthakan aset itu atau pemulangannya kepada mangsa.

Strategi itu adalah sebahagian daripada usaha berterusan Singapura untuk meningkatkan rejim Antipengubahan Wang Haram dan Membanteras Pembiayaan Keganasan (AML/CFT).

Strategi itu menumpukan kepada empat teras iaitu mengesan aktiviti mencurigakan dan jenayah dengan menjejaki dana haram, menghalang penjenayah daripada hasil haram mereka melalui rampasan dan penyitaan segera, memastikan pemulihan maksimum aset untuk pelucuthakan dan pemulangan kepada mangsa dan menghalang penjenayah daripada menggunakan Singapura untuk menyembunyikan, mengalihkan atau menikmati aset haram mereka.

Singapura melaksanakan empat teras itu melalui usaha pencegahan kerugian di peringkat awal, pendekatan seluruh masyarakat serta mengukuhkan kerjasama dengan rakan sejawat antarabangsa, pihak berkepentingan masyarakat dan sektor swasta dalam usaha pemulihan aset dan pencegahan kerugian.

“Sebagai contoh, Komando Antipenipuan Pasukan Polis Singapura dan bank-bank tempatan menghantar lebih 16,700 makluman SMS dari Mac hingga April 2024 untuk memberi amaran kepada lebih 12,500 pelanggan bank, yang dikesan pihak berkuasa sedang dalam proses ditipu,” menurut kenyataan itu.

Ini  telah berjaya menggagalkan lebih 3,000 penipuan dan mengelakkan kerugian lebih S$100 juta.

Di Singapura, sebahagian besar kes pengubahan wang haram bersifat transnasional, melibatkan kesalahan predikat asing dan sindiket jenayah asing yang menggunakan kaedah yang canggih dan kompleks, termasuk taktik berlapis dan teknologi digital, untuk menyembunyikan pergerakan rentas sempadan dana haram mereka.

Sementara itu, Perdana Menteri yang juga merangkap Menteri Kewangan Lawrence Wong pada pembukaan Mesyuarat Plenari Pasukan Petugas Tindakan Kewangan pada pagi Rabu berkata Singapura menjadikan pemulihan aset sebagai keutamaan dalam rejim antipengubahan wang kebangsaannya.

“Singapura mengambil pendekatan tegas terhadap jenayah kewangan. Tetapi toleransi sifar tidak bermakna kejadian sifar.

“Jadi kami mengamalkan pendekatan berdasarkan risiko. Kami memberi tumpuan kepada memahami trend dan perkembangan terkini dalam dunia kewangan yang boleh dieksploitasi oleh penjenayah dan kami membangunkan alat dan rangka kerja undang-undang yang membolehkan kami mengesan individu dan aktiviti mencurigakan lebih awal,” katanya.

Wong berkata pada Ogos tahun lepas, agensi penguatkuasaan undang-undang negara itu menjalankan satu daripada operasi antipengubahan wang terbesar di dunia dan merampas lebih S$3 bilion aset daripada 27 suspek.

Sepuluh suspek telah disabitkan kesalahan dalam tempoh setahun selepas penahanan mereka dan kira-kira S$940 juta aset mereka telah dilucuthakkan kepada negara, yang merupakan lebih 90 peratus daripada apa yang dirampas daripada mereka.

“Siasatan masih dijalankan terhadap 17 suspek lain yang kini berada di luar negara,” katanya.

Wong berkata pengalaman dan pengajaran yang diperoleh daripada operasi itu akan digunakan untuk mengukuhkan peraturan dan penguatkuasaan di Singapura. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan