Search
Close this search box.
Abang Johari menghadiri Majlis Pelancaran Pusat Reka Bentuk Cip SMD dan Akademi SMD di HSL Tower, Kuching, hari ini. Foto Radzi Ahmad (TVS)

Perluas operasi semikonduktor, SMD diberi tanah seluas 4 hektar di Zon Perindustrian Bebas Samajaya

KUCHING, 26 Jun: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, mengumumkan pemberian tanah seluas empat hektar kepada Sarawak Microelectronics Design (SMD) di Zon Perindustrian Bebas Samajaya.

Jelasnya, langkah strategik ini bertujuan untuk memperluaskan operasi semikonduktor SMD, sekali gus menangani kepentingan teknologi pembungkusan cip yang semakin maju untuk cip semikonduktor berprestasi tinggi.

SMD diberi tanah 4 hektar perluas operasi semikonduktor | TVS

“Pemberian tanah ini akan membolehkan SMD bekerjasama dengan pelabur swasta dan rakan kongsi, menggalakkan pembangunan dalam pasaran yang pesat membangun seperti Kecerdasan Buatan (AI) dan sektor automotif.

“Teknologi pembungkusan cip yang maju ini akan membuka peluang penyelidikan dan pembangunan (R&D) baharu seperti reka bentuk sistem, reka bentuk ciplet, dan reka bentuk pembungkusan yang akan mencipta peluang pekerjaan bernilai tinggi untuk industri tempatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Pusat Reka Bentuk Cip SMD dan Akademi SMD di HSL Tower di sini, hari ini.

Tambah Abang Johari, untuk berjaya dalam usaha itu, adalah penting untuk membentuk pasukan dan bakat yang luar biasa.

“Kita perlu mendapatkan dan membangunkan jurutera reka bentuk IC yang mahir, inovatif, dan berdedikasi yang boleh menyumbang dengan ketara kepada usaha kolektif, memastikan produk yang kita bangunkan memenuhi piawaian kualiti dan fungsi yang tinggi,” tambahnya.

Dalam pada itu, Abang Johari menyatakan i-CATS dan SMD sedang bekerjasama untuk memperkenalkan modul aeroangkasa ke dalam kurikulum i-CATS.

“Inisiatif ini merupakan langkah maju yang signifikan dalam meningkatkan penawaran pendidikan dan mempersiapkan pelajar untuk kerjaya dalam industri aeroangkasa berteknologi tinggi,” katanya.

Tambahnya lagi, dengan meningkatkan pengeluaran tempatan ke dalam komponen aeroangkasa berteknologi tinggi, ia akan mendorong inovasi, meningkatkan kepakaran teknologi, dan mencipta ekosistem kukuh yang menyokong pertumbuhan industri berteknologi tinggi di Sarawak.

“Langkah strategik ini akan mempercepatkan perjalanan rantau ini menjadi pusat kecemerlangan teknologi.

“Manfaatnya akan meluas, memberi kesan positif kepada ekonomi dan landskap pendidikan kita dengan menarik pelaburan asing, menggalakkan kolaborasi antarabangsa, dan memajukan industri tempatan,” katanya. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan