Search
Close this search box.
Jurulatih beregu campuran negara Nova Widianto, optimis anak buahnya Chen Tang Jie-Toh Ee Wei mampu membutirkan pingat untuk Malaysia di Sukan Olimpik 2024. Foto fail Bernama

Nova optimis Tang Jie-Ee Wei mampu raih pingat di Olimpik Paris 2024

ByBernama

KUALA LUMPUR, 26 Jun: Jurulatih beregu campuran negara Nova Widianto, optimis anak buahnya Chen Tang Jie-Toh Ee Wei mampu membutirkan pingat untuk Malaysia di Sukan Olimpik 2024.

Melihat komitmen dan semangat ditunjukkan pasangan ranking kesembilan dunia itu, Nova percaya mereka berupaya untuk menaiki podium meskipun dalam penampilan sulung di pentas Olimpik.

“Kalau dari segi persediaan dan permainan saya sangat yakin (raih pingat) kerana mereka ada perasaan untuk menang. Saya rasa mereka ini paling bagus.

“Mereka tak banyak beri alasan dan ikut semua arahan yang diberikan. Mudah-mudahan apa yang direncanakan ini mereka boleh bagi aksi yang maksima di sana (Sukan Olimpik 2024),” katanya ketika ditemui pada sesi latihan skuad kebangsaan di Akademi Badminton Malaysia (ABM) di sini, hari ini.

Sejak digandingkan pada Disember 2022, pasangan itu telah mempamerkan prestasi yang baik sehingga berjaya mencapai kedudukan 10 teratas dunia dan layak beraksi di Jelajah Dunia Akhir BWF.

Mereka juga meraih gelaran juara Terbuka Taipei dan Masters Orleans pada 2023.

Bagaimanapun, satu perkara yang merisaukan Nova adalah untuk mempersiapkan Tang Jie dan Ee Wei dari segi mental yang menurutnya sentiasa menjadi batu penghalang dalam beberapa kejohanan sebelum ini.

Justeru katanya, fokusnya kini adalah kepada aspek psikologi pasangan itu dalam memastikan mental kedua-duanya dalam keadaan terbaik menjelang temasya berkenaan.

“Bagi saya, perkara paling penting ialah persiapan mental. Kalau keadaan mental mereka berdua baik saya rasa ada harapan di Olimpik.

“Banyak orang tidak suka dengan permainan laju dan keras mereka berdua. Jadi, saya bagi tahu mereka perlu tampil yakin dan beri habis-habisan malah anggap ini sebagai Olimpik terakhir. Kita bantu dari belakang dan kini mereka tentukan,” katanya.

Sukan Olimpik 2024 dijadual berlangsung di Paris dari 26 Julai hingga 11 Ogos ini. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan