Search
Close this search box.
50 peratus sisa buangan adalah sisa organik yang sebenarnya berupaya ditukarkan kepada sumber tenaga dan baja bagi mengurangkan longokan sisa ini di tapak pelupusan. Foto TVS

Mengubah sisa jadi sumber: Pendekatan ke arah ‘zero waste’ dan kemampanan bandar

ByFebbright James

SETIAP negeri di Malaysia disarankan agar mula memberi fokus kepada pengurusan dan pengurangan sisa buangan organik dan pepejal dengan baik untuk mencapai ‘zero waste’ atau sifar sisa dan kemampanan bandar secara holistik.

Menurut Pensyarah Fakulti Sains dan Teknologi Sumber Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) Profesor Madya Dr Rafeah Wahi, setakat ini 50 peratus sisa buangan adalah sisa organik yang sebenarnya berupaya ditukarkan kepada sumber tenaga dan baja bagi mengurangkan longgokan sisa ini di tapak pelupusan.

Ujarnya, sebagai langkah untuk mewujudkan bandar yang mampan dan sifar sisa, setiap negeri termasuk Sarawak mesti mempunyai matlamat yang jelas dalam pengurusan sisa organik.

Profesor Madya Dr Rafeah Wahi. Foto TVS

“Sebagai contoh, mengubah sisa makanan dan bahan organik lain menjadi kompos boleh mengurangkan jumlah sisa yang masuk ke tapak pelupusan serta menghasilkan baja berkualiti tinggi untuk kegunaan aktiviti pertanian di bandar atau taman komuniti.

“Jadi saya lihat, kita perlu ada sasaran misalnya dalam tempoh lima tahun negeri ini boleh menetapkan kadar kitar semula dan mengurangkan sampah ke tapak pelupusan sebanyak 20 peratus dan akan ditingkatkan ke 50 atau 70 peratus dalam tempoh lima tahun berikutnya.

“Kita juga perlu ada polisi yang menyokong perlaksanaan matlamat ini. Misalnya, kerajaan atau pihak berkuasa boleh memberikan insentif kepada mereka yang terlibat dalam menjayakan inisiatif sifar sisa ini,” katanya.

Contoh longgokan sampah yang sering berlaku di kawasan bandar akibat tidak ada tempat pembuangan khas disediakan di sesebuah kawasan. Foto TVS

Tambahnya, pihak berkuasa boleh memainkan peranan penting mereka dalam memastikan matlamat dan polis kerajaan dapat dilaksanakan dengan baik dan berkesan.

Misalnya, pihak berwajib atau Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) boleh melaksanakan satu program yang memberikan galakan kepada syarikat dalam melaksanakan Extended Producer Responsibilty (EPR) yang menumpukan pada tanggungjawab pengeluar untuk mengetahui kesan produk mereka pada peringkat akhir kitaran hayatnya selepas penggunaannya.

“Selain itu, usaha ini dapat memotivasikan mereka untuk mengeluarkan produk yang memberi kesan minimum kepada alam sekitar dan kesihatan.

“Kita boleh galakkan industri sama ada industri besar, kecil mahupun sederhana agar mereka menggunakan pembungkusan yang lebih mesra alam dan boleh diulang guna atau diguna semula (reusable),” katanya.

Perkukuh jalinan kerjasama menyeluruh

Dalam pada itu, Dr Rafeah yang juga merupakan Penyelaras Qadim Hub Pusat Kelestarian Universiti berkata, tanggungjawab pengurusan sisa yang baik tidak hanya terletak dibahu kerajaan atau pihak berkuasa tempatan semata-mata sebaliknya memerlukan kerjasama secara menyeluruh dari semua pihak termasuk penduduk setempat, pihak industri dan universiti.

Jelasnya, pihak berkuasa tempatan seperti Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU), Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) dan Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) mempunyai inisiatif menyediakan tapak pengkomposan sisa organik namun hanya dapat disediakan di beberapa tempat sahaja akibat sumber yang terhad.

Pusat Hijau MBKS yang dijadikan tempat untuk memproses sisa organik menjadi baja. Foto TVS

 

“Kita ada fasiliti pusat kitar semula namun berikutan sumber (kewangan) yang terhad, hanya dapat dibina di beberapa tempat saja. Oleh itu saya cadangkan agar pihak berkuasa tempatan dapat meningkatkan kerjasama dengan pihak swasta menerusi Kerjasama Kerajaan-Swasta (Public-Private Partnership).

“Kerjasama ini mungkin boleh dilaksanakan dalam bentuk pelaburan membina pusat hijau, pusat kitar semula dan teknologi terkini penukaran sisa buangan kepada produk,” tambah beliau.

Beliau turut menyarankan agar syarikat-syarikat industri boleh membantu pihak berkuasa tempatan menyediakan fasiliti seperti Reverse Vending Machine untuk kegunaan penduduk setempat mengitar semula botol, plastik dan sebagainya.

“Pada pandangan saya, Reverse Vending Machine adalah satu pelaburan yang baik terutamanya di kawasan penduduk yang sudah mempunyai kesedaran untuk mengitar semula.

“Dalam hal ini, syarikat swasta atau penggiat industri boleh menjadikan inisiatif (menyediakan Reverse Vending Machine) sebagai bentuk Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) mereka dan sebahagian daripada inisiatif ESG (Environmental, Social, and Governance) syarikat,” katanya.

Mesin yang disediakan di Pusat Hijau MBKS untuk memproses sisa organik menjadi baja. Foto TVS

Tindakan bijak MPKS, UNIMAS

Universiti tempatan seperti UNIMAS juga giat menjalinkan kerjasama dengan pihak berkuasa tempatan dengan memperkasakan pelajar-pelajar turun padang melalui pelbagai bentuk program untuk memberikan kesedaran kepada orang awam mengenai pengurusan sisa.

Pelajar-pelajar UNIMAS turun padang melalui pelbagai bentuk program untuk memberikan kesedaran kepada orang awam mengenai pengurusan sisa. Foto TVS

“Pada tahun 2019, kita ada mengadakan satu program bersama Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) untuk mendidik penduduk di kawasan Bandar Riyal dan pekerja pasar raya berdekatan agar mengasingkan sisa pepejal dan organik.

“Mudah sahaja, hanya perlu asingkan sisa plastik, sisa makanan dan sebagainya. Alhamdulillah dari tahun 2019 sehingga 2024  kita dapati masih berlaku pengasingan sisa organik dalam kalangan penjaja ikan, sayur dan peniaga gerai makanan.

“Sisa organik ini akan diambil oleh pihak berkuasa tempatan untuk dikompos dan dijadikan baja,” ujar Dr Rafeah.

Kemudian, baja yang dihasilkan akan dijual atau digunakan untuk menyuburkan tanaman landskap pusat bandaraya Kuching dan Kota Samarahan.

MPKS aktif dalam memastikan kempen 3R berkesan dan menjadi budaya komuniti setempat.

Beliau menyifatkan usaha yang dilaksanakan oleh MPKS itu sebagai langkah bijak untuk menangani masalah 50 peratus sisa organik yang dibuang ke tapak pelupusan.

Hal ini demikian, sekiranya negeri ini dapat menguruskan 50 peratus sisa organik, maka jumlah sisa dibuang ke tapak pelupasan juga dapat dikurangkan sebanyak 50 peratus.

Beliau turut menyeru orang ramai agar mula menerapkan amalan pengasingan sisa mengikut jenis dan kategori agar dapat mengurangkan pembuangan sisa ke tapak pelupusan.

Pusat Kitar Semula berdekatan dengan Pasar Tamu Bandar Riyal Kota Samarahan yang disediakan oleh Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS). Foto TVS

“Buat masa sekarang tidak ada konsep pengasingan sampah sendiri di rumah kerana pada akhirnya kita semua berpendapat bahawa pemungut sampah akan mencampakkan semua sampah yang telah diasingkan sekaligus.

“Oleh itu, perlu ada arahan daripada pihak berkuasa tempatan untuk komuniti setempat mengasingkan sisa buangan mengikut kategori, disusuli dengan arahan kepada pemungut sampah agar tidak mencampurkan sampah yang telah diasingkan di peringkat rumah,” katanya.

Jelasnya, kerjasama semua pihak, pendidikan mengenai alam sekitar dan kesedaran masyarakat adalah merupakan elemen yang penting ke arah sifar sisa dan pengurangan sisa buangan ke tapak pelupusan.

Bagaimana pula dengan pengurusan sampah di kawasan pedalaman?

Ke arah sifar sisa, pengurusan sisa atau sampah tidak boleh hanya tertumpu kepada kawasan bandar sahaja sebaliknya kawasan luar bandar dan pedalaman juga wajar diberi perhatian.

Hasil tinjauan wartawan TVS mendapati kebanyakan sisa buangan di kawasan pedalaman khususnya di rumah panjang dilonggokan di lereng bukit di belakang rumah.

Sekiranya longgokan sampah tidak terurus seperti ini dibiarkan secara beterusan akan menyebabkan pencemaran kerana ‘sikit-sikit lama-lama menjadi bukit’ serta berupaya menjejaskan persekitaran dan kelestarian alam di kawasan pedalaman .

Hasil tinjauan TVS di salah sebuah rumah panjang di Betong mendapati sampah atau sisa domestik dibuang dan dilonggokkan di lereng bukit.

Lantaran itu, perkara ini diajukan kepada Profesor Rafeah untuk mendapatkan pandangan beliau tentang kaedah yang boleh dilaksanakan bagi mengatasi isu ini.

Beliau menegaskan pengurusan sisa organik yang baik tidak harus diamalkan di kawasan bandar sahaja tetapi perlu diperluaskan ke kawasan pedalaman khususnya kawasan yang tidak dapat akses kepada perkhidmatan pungutan sampah kerana lokasi yang terlalu jauh.

“Cabaran yang kita hadapi di Sarawak agak unik berbanding negeri lain kerana kita sedia maklum bahawa negeri ini sangat besar dan luas.

“Kawasan berpendudukan juga berselerak dan banyak tempat-tempat di pedalaman tidak dapat dilalui oleh lori untuk tujuan perkhidmatan pungutan sampah,” kata beliau.

Oleh itu, beliau mencadangkan agar pihak berwajib menyediakan incinerator kecil yang dilengkapi dengan sistem yang baik seperti sistem penapisan dan serombong untuk mengelakkan gas tidak baik terlepas ke alam sekitar untuk kegunaan di kawasan luar bandar.

“Sekurang-kurangnya sisa yang tidak dapat dielakkan dapat dimasukkan ke dalam incinerator ini dan sisa buangan penduduk juga tidak dilonggokan di tempat yang mereka sediakan sendiri,” tambahnya.

Selain itu, katanya, pihak berkaitan boleh mengadakan kursus kepada masyarakat di kampung-kampung atau kawasan luar bandar khususnya yang terlibat dalam aktiviti pertanian untuk penghasilan baja daripada sisa organik.

Menerusi usaha seumpama ini secara tidak langsung memberi manfaat kepada penduduk setempat.

“Masyarakat akan mendapat manfaat dan keuntungan apabila kita mengupayakan serta membiasakan mereka untuk menukar sisa organik kepada baja kompos kerana ia sangat mudah dan tidak memerlukan kos yang tinggi.

“Sebagai contoh, satu kampung bekerjasama menghasilkan baja kompos ini dan dijual untuk kegunaan industri pertanian dalam skala besar maka mereka dapat menjana pendapatan sampingan,” ujarnya.

Untuk rekod, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengisytiharkan 30 Mac setiap tahun sebagai The International Day Of Zero Waste setiap tahun. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan

No data was found