Search
Close this search box.
Dua penjenayah mati selepas berbalas tembakan dengan polis di Jalan Pokok Sena-Permatang Baru, Sungai Dua di Butterworth dekat sini awal pagi tadi. Foto TVS

Dua penjenayah mati selepas berbalas tembakan dengan polis

ByTVS

GEORGE TOWN, 26 Jun: Polis menembak mati dua penjenayah yang masing-masing memiliki 12 dan 13 rekod lampau dalam kejadian berbalas tembakan di Jalan Pokok Sena-Permatang Baru, Sungai Dua di Butterworth dekat sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.05 pagi itu, suspek berusia 41 dan 51 tahun tersebut mati di tempat kejadian.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata, pasukan dari Bahagian Siasatan Khas (D9) Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang yang sedang melakukan tugasan telah mendapati sebuah kereta Perodua Myvi dalam keadaan mencurigakan sebelum diarahkan berhenti untuk diperiksa.

Katanya, pemandu kereta bagaimanapun bertindak memecut untuk melarikan diri sambil melepaskan beberapa das tembakan ke arah polis.

“Polis telah mengejar dalam anggaran jarak 2 kilometer sehingga kereta suspek terbabas.

“Semasa polis turun untuk memeriksa, suspek sekali lagi melepaskan tembakan dan bagi tujuan mempertahankan diri, polis membalas balik tembakan.

“Apabila keadaan reda, pemeriksaan mendapati pemandu dan penumpang kereta telah ditumpaskan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang di sini hari ini.

Tambah Hamzah, pemeriksaan lanjut, polis menemui sepucuk pistol jenis semi automatik jenis Glock dan sepucuk pistol Revolver jenis Smith & wesson .38 bersama suspek dengan 176 butir peluru.

“Ketika kejadian, suspek berkemungkinan sedang melakukan jenayah berkaitan dadah atau rompakan.

“Hasil siasatan lanjut, kedua-dua mereka yang berasal dari Pulau Pinang mempunyai 12 dan 13 rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah,” katanya.

Ujar beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 8 Akta Senjata 1960. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan