Search
Close this search box.
Datuk Amar Dr Sim Kui Hian melawat ke tapak projek pembinaan Jambatan Kedua Batu Kawa di Kuching.

Dr. Sim mahu pembinaan Jambatan Kedua Batu Kawa, jalan baharu dipercepatkan, kurangkan kesesakan

ByMuqri Aziz

KUCHING, 26 Jun: TImbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian menggesa projek pembinaan Jambatan Kedua Batu Kawa dan jalan baharu yang diperuntukkan sebanyak RM160 juta dipercepatkan bagi menangani isu kesesakan yang sering berlaku di kawasan berkenaan.

Dr. Sim menerusi satu kenyataan hari ini menekankan keperluan mendesak untuk meneruskan proses pengambilan tanah dan tender projek berikutan selesainya kerja ukur tanah sambil memuji Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Sarawak kerana mengendalikan fasa kritikal itu dengan cekap.

“Dengan perkembangan pesat di Batu Kawa, terdapat peningkatan ketara dalam populasi dan lalu lintas, menyebabkan kesesakan yang kerap di sepanjang Jalan Batu Kawa dan Jambatan Datuk Chong Kiun Kong.

“Projek besar bernilai RM160 juta ini, yang merangkumi pembinaan jambatan kedua di atas Sungai Sarawak dan jalan raya berkembar baharu sepanjang lebih 5 kilometer, bertujuan untuk mengurangkan cabaran lalu lintas ini,” katanya.

Dr. Sim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kawa turut menambah sejak dipilih menjadi wakil rakyat di kawasan berkenaan sejak 2016, beliau memberi keutamaan untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas dengan membina jalan baharu bagi mengagihkan trafik dengan lebih sekata.

Beliau menambah, banyak jalan masuk baharu telah disiapkan sejak beberapa tahun kebelakangan ini termasuk Jalan Tan Sri Wee Boon Ping yang menghubungkan Jalan Stephen Yong sejauh 4 dan 1/2 batu, jalan masuk baharu dari Kampung Segedup ke Jalan Sungai Maong dan Matang, serta jalan masuk alternatif Taman Kwang Tiong.

“Semua projek pembangunan ini dibiayai oleh Kerajaan Sarawak, namun cukai jalan dikutip oleh Kerajaan Persekutuan.

“Oleh itu, saya menggesa semua Ahli Parlimen Sarawak untuk memperjuangkan lebih banyak projek pembangunan jalan raya yang dibiayai oleh Kerajaan Persekutuan bagi menangani isu kesesakan lalu lintas di seluruh Sarawak,” katanya.

Beliau turut mengumumkan projek pembinaan jalan penghubung sepanjang 3 kilometer dari lampu isyarat di Jalan Stephen Yong melalui Kampung Segedup ke Matang akan dijalankan pada masa akan datang. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan