Search
Close this search box.
Menteri KPWK, Dato Sri Fatimah Abdullah ketika berucap semasa Taklimat Gerak Kerja Focus Group Kesejahteraan Rakyat Peringkat KPWK Sarawak di bangunan Baitulmakmur II, hari ini. Foto Marzella Sigai (TVS)

Sifar miskin tegar di Sarawak menjelang Disember 2024

ByMarzella Sigai

KUCHING, 25 Jun: Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KPWK) Sarawak komited untuk mencapai 100 peratus sifar miskin tegar iaitu seramai 12, 853 Ketua Isi Rumah (KIR) dikeluarkan daripada senarai eKasih menjelang Disember tahun ini.

Menterinya, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, untuk merealisasikan matlamat tersebut, pihaknya akan menjalankan verifikasi terlebih dahulu di lapangan mengikut zon berdasarkan jumlah sasaran KIR yang ditetapkan di setiap daerah bagi mengenal pasti status terkini individu yang disenarai dalam Miskin Tegar (MT).

“Verifikasi perlu dilakukan untuk melihat sama ada individu tersebut masih hidup atau sudah meninggal dunia. Kalau sudah meninggal dunia, nama akan dikeluarkan daripada sistem eKasih.

“Bila kita verifikasi, kalau masih hidup, kita nak lihat dari segi pendapatannya. Adakah pendapatannya dalam miskin tegar ataupun sudah melepasi miskin tegar. Kalau sudah melepasi miskin tegar, nama individu tersebut sepatutnya tiada lagi dalam senarai,” ujarnya.

Beliau berkata demikian semasa Taklimat Gerak Kerja Focus Group Kesejahteraan Rakyat Peringkat Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KPWK) Sarawak, di Bangunan Baitulmakmur II, Kuching, hari ini.

Menurut Fatimah lagi, faktor umur juga merupakan indikator penting untuk menentukan sama ada individu yang disenarai tersebut masih produktif atau tidak supaya bantuan yang sewajarnya dapat diberikan dan dikeluarkan daripada senarai miskin tegar.

“Misalnya, tidak produktif, kalau belum menerima bantuan, maka akan dibuat pemadanan bantuan daripada JKM, Baitulmal dan agensi lain.

“Sekiranya bantuan telah diberi, sebagai contoh bantuan di bawah Skim Warga Emas sebanyak RM500, jadi kalau RM500 itu ditambah dengan pendapatan sedia ada isi rumah itu tadi dan melepasi garis kemiskinan, jadi maknanya satu lagi kes dapat dikurangkan,” katanya lagi.

Dibawah Inisiatif Kesejahteraan Rakyat KPWK, KPWK telah menubuhkan Focus Group Kesejahteraan Rakyat Peringkat KPWK dan tiga Pasukan Petugas Kesejahteraan Rakyat mengikut zon iaitu Pasukan Petugas Kesejahteraan Rakyat Zon Selatan, Zon Tengah dan Zon Utara untuk melaksanakan inisiatif pembasmian kemiskinan.

Oleh itu, untuk mencapai matlamat tersebut, kementeriannya akan bekerjasama dengan pihak Pejabat Pembangunan Negeri Sarawak, rakan strategik, jabatan, agensi negeri, pegawai daerah dan semua residen.

Berdasar Statistik Kemiskinan Negeri Sarawak, terdapat 12,853 KIR yang berstatus miskin tegar di Sarawak setakat 1 Jun 2024 berbanding 26, 819 KIR pada bulan yang sama tahun lalu. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan