Search
Close this search box.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyempurnakan Majlis Perasmian Seminar Fatwa Peringkat Sarawak 1445H/2024M, hari ini. Foto Mohd Raffiq (TVS)

Pakar berkaitan perlu terlibat dengan pengeluaran fatwa tentang ilmu sains dan teknologi – Abang Johari

ByAhmad Burhanuddin

KUCHING, 25 Jun: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berpandangan bahawa pihak yang diberi kuasa untuk menilai dan membuat keputusan mengenai hukum perlulah terdiri daripada pakar-pakar terutamanya apabila melibatkan isu-isu perkembangan ilmu sains dan teknologi masa kini.

Beliau berkata, walaupun fatwa mengenai sesetengah perkara telah diputuskan sebelum ini, namun ilmu sains dan penyelidikan sentiasa berubah, di mana keputusan yang betul dalam mengeluarkan hukum perlu dicapai, selain ia akan menjadi tiang untuk menguruskan serta membangunkan masyarakat.

Katanya, isu tentang perkara itu perlu dibincang dan dilihat daripada semua sudut berteraskan kepada Al-Quran dan hadis untuk memberikan keputusan yang baik dan tepat berkenaan isu-isu yang dihadapi oleh umat Islam dan seluruh masyarakat.

“Saya ambil contoh, dahulu tidak ada klon dan sekarang sudah ada klon, yang mana haiwan boleh mempunyai muka dan bentuk yang sama. Apakah hukumnya klon ini? Jadi, pada masa hadapan saya tidak tahulah, kalau ada dua manusia yang sama macam mana, apa hukumnya kalau dia gunakan ilmu sains ini?

“Kita tidak boleh tahu kerana (sekarang) sudah ada robot. Robot ini mesin. Sekarang suara robot ini macam manusia, berjalan macam manusia. (Jadi) apakah hukumnya di antara robot dengan manusia? Kalau pembedahan pula tidak gunakan jururawat lagi, guna robot, apa hukumnya? Jadi, ini adalah satu perubahan sains yang sudah tentu memberikan satu keadaan lain daripada lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Seminar Fatwa Peringkat Sarawak 1445H/2024M, di sini, hari ini.

Sementara itu, Abang Johari berkata mengenai minat Sarawak terhadap ruang angkasa, penjelasan daripada sudut agama dan Al-Quran juga adalah perlu, kerana astronomi turut berkait rapat dengan ilmu falak.

“Saya telah minta Kolej Universiti i-CATS bangunkan fakulti ruang angkasa dengan satelit teknologi dan pengumpulan data. Saya dan Datuk Mufti mahu menggalakkan orang Islam belajar astronomi kerana segala maklumat diperoleh sekarang ini adalah melalui satelit. Kalau israk dan mikraj beri gambaran tersebut maka bagaimana hubungan peristiwa itu dengan ilmu astronomi.

“Oleh itu, semua sudut ini hendaklah digabungkan dalam usaha kita membuat hukum yang sama ada yang betul atau salah dan daripada sudut itu juga, kita sentiasa bersama-sama dengan pembangunan sains sebagai landasan untuk kita mengeluarkan hukum,” ujarnya.

Terdahulu, Abang Johari merasmikan seminar selama sehari itu yang dihadiri lebih 1,000 peserta dan menyaksikan lima kertas kerja dibentangkan termasuk berkaitan proses pemfatwaan dan isu-isu kefatwaan.

Turut hadir, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Tan Sri Mohamad Asfia Awang Nassar, Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan dan Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak, Datuk Misnu Taha. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan