Search
Close this search box.
Lidam Assan meneliti buah koko di tapak tanaman koko Lembaga Koko Malaysia, Kota Samarahan, hari ini. Foto TVS

Kapit berpotensi jadi pusat pengeluaran koko utama Sarawak – Lidam

KOTA SAMARAHAN, 25 Jun: Kapit berpotensi besar untuk menjadi pusat pengeluaran serta pemprosesan koko utama bagi negeri Sarawak, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Katibas, Lidam Assan.

Beliau berkata, peluang dalam bidang penanaman hingga penghasilan produk hiliran koko perlu diceburi memandangkan pasarannya amat luas.

“Bagi kita, memang kita melihat potensi tanaman koko ini amat besar, kerana kita di Kapit mempunyai kawasan tanah yang luas dan subur seperti tanah-tanah mineral, tanah podsolik yang ada pada kita. Selain daripada itu juga, kita mengetahui bahawa terrain topografi kita yang kurang baik untuk tanaman-tanaman seperti sawit. Oleh itu kita mulakan tanaman koko, seperti yang kita nampak pada waktu ini, keperluan koko di pasaran amat baik sekali,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada program lawatan kerja sambil belajar Lembaga Pembangunan Ulu Rajang (URDA) di Lembaga Koko Malaysia (LKM) di sini, hari ini.

Lidam turut menggesa para petani untuk menceburi bidang penanaman koko kerana negara memerlukan sekurang-kurangnya 320,000 tan metrik koko untuk memenuhi keperluan pasaran yang meluas pada masa kini.

Pada masa yang sama, harga sekilogram koko di pasaran kini mencecah antara RM20 hingga RM30 dan ini merupakan salah satu tarikan untuk menanam dan mengusahakan tanaman komoditi ini.

Tambah Lidam yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kecil Pembangunan Industri dan Keusahawanan URDA, program anjuran URDA ini bertujuan untuk mendedahkan komuniti setempat tentang potensi yang tersedia menerusi produk tanaman seperti koko, sama ada untuk industri huluan dan hiliran yang dapat membantu meningkatkan sosio-ekonomi warga setempat.

Seramai 50 peserta yang hadir pada program tersebut, terdiri daripada komuniti URDA yang mempunyai minat serta berpotensi menjadi pengusaha tanaman koko tersebut.

Antara produk yang dihasilkan menerusi koko termasuklah makanan, minuman, selain produk kosmetik yang diperbuat daripada lemak koko serta bahan-bahan untuk produk klinikal dan farmaseutikal.

Lawatan kerja sambil belajar ini kelak akan diteruskan lagi dengan meneroka potensi tanaman komoditi lain seperti kopi dan pengeluaran madu kelulut. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan