Search
Close this search box.
Malaysia menyediakan tiga bentuk sumber pembiayaan dan inisiatif yang menyokong pertumbuhan ekonomi hijau, kata Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Hajar Hanifah Taib. Foto hiasan, Envato.

Dewan Rakyat: RM200 bilion dilaburkan sokong ekonomi hijau – Hanifah Hajar

ByAdlina Rahman

KUALA LUMPUR, 25 Jun: Tiga bentuk sumber pembiayaan dan inisiatif disediakan bagi menyokong pertumbuhan ekonomi hijau di negara ini, kata Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Hanifah Hajar Taib.

Jelas beliau, ini membabitkan Dana Kemudahan Peralihan Tenaga Negara berjumlah RM2 bilion serta dana pembiayaan oleh institusi kewangan dengan nilai keseluruhan RM200 bilion untuk mendorong industri beralih ke arah ekonomi rendah karbon.

Pembiayaaan berkenaan tambah Hanifah Hajar turut melibatkan Dokumen Sustainable and Responsible Investment (SRI) Taxonomy oleh Suruhanjaya Sekuriti (SC) bagi menyediakan panduan yang jelas kepada pelabur dalam pasaran modal untuk mengenal pasti aktiviti ekonomi yang mampan.

“(Dalam soal ini) Kementerian Ekonomi boleh memainkan peranan signifikan dalam menguar-uarkan sumber dan inisiatif sedia ada serta membantu memudah cara pihak industri mendapatkan sumber tersebut,” katanya dalam Sesi Kamar Khas di Dewan Negara di sini, hari ini.

Mengenai peranan dimainkan Malaysia di peringkat antarabangsa pula, beliau menjelaskan di bawah Perjanjian Paris, negara telah menyatakan komitmen untuk mengurangkan intensiti pelepasan gas rumah kaca (GHG) sebanyak 45 peratus menjelang 2030 berdasarkan intensiti pelepasan pada 2005.

“Malaysia juga bersama-sama 192 negara menerima pakai Agenda 2030 bagi Pembangunan Mampan pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di New York pada 25 September 2015. Ia merupakan komitmen global ke arah pembangunan yang mampan, berdaya tahan dan inklusif,” katanya.

Tambah beliau menerusi Rancangan Malaysia Lima Tahun, negara memberi perhatian kepada agenda kemampanan, alam sekitar dan perubahan iklim menerusi dasar dan pelan tindakan bermula Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10).

“…dan (ini diteruskan) sehingga RMKe-12. Dalam RMKe-12, agenda pertumbuhan hijau terus dipergiat untuk memastikan kemampanan dan daya tahan melalui pendekatan keseluruhan negara,” katanya.

Beliau turut menjelaskan ketika pembentangan RMKe-12 pada September 2021, negara telah mengumumkan aspirasi untuk mencapai pelepasan GHG bersih sifar seawal 2050.

“Seterusnya, Kajian Separuh Penggal (KSP), RMKe-12 terus memberi perhatian kepada strategi melonjakkan kemampanan dan mempercepat pertumbuhan hijau.

“Usaha ini akan dilaksana dengan menyatukan semua pihak berkepentingan dalam berkongsi tanggungjawab untuk memastikan kelestarian alam sekitar bagi mencapai matlamat Agenda 2030 bagi Pembangunan Mampan,” katanya. -TVS

 

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan