Search
Close this search box.
Muhammad Ihsan Fikri Suffian (kiri), Ketua Jurulatih Kem Tenpin Boling Sarawak, Angelo Koay (tengah) dan Lavinia Kho Jia Jie (kanan) ketika ditemui TVS semasa latihan kontinjen tenpin boling Sarawak di Emart Megalanes Batu Kawa baru- baru ini. Foto Mohammed Raffiq (TVS)

SUKMA 2024: Gabungan muka baharu dan lama kekalkan kejuaraan tenpin boling

ByKimberly Dickson

KUCHING, 24 Jun: Kontinjen tenpin boling Sarawak mempertaruhkan 12 atlet kombinasi muka baharu dan lama untuk mewakili Sukan Malaysia (SUKMA) yang ke-21 bagi mengekalkan gelaran juara keseluruhan seperti edisi sebelumnya.

Ketua Jurulatih Kem Tenpin Boling Sarawak, Angelo Koay berkata, penampilan tujuh muka baharu termasuk atlet berusia 15 tahun akan bergandingan dengan lima ‘orang lama’ termasuk Nur Hazirah Ramli, Lavinia Kho Jia Jie, Asya Dania Azree dan dua lagi yang lain.

Meskipun perlu bijak menyusun atur strategi latihan para atlet, Angelo pada masa sama, tidak menafikan perlu berpijak di bumi yang nyata demi merealisasikan impian merangkul seberapa banyak pingat yang mungkin.

Menurutnya, saingan kali ini semakin sengit kerana banyak pasukan telah meningkatkan prestasi mereka seperti Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Sabah dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

“Saya berterus-terang memang ingin meraih kesemua tampuk kemenangan kerana setiap hari berlatih bersungguh-sungguh sudah semestinya ingin menang.

“Namun begitu, kita mesti bijak mengatur langkah di landasan yang sebenar kerana saingan semakin sengit terutamanya apabila banyak pasukan mempamerkan prestasi yang baik contohnya dari Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Sabah dan Wilayah Persekutuan,” katanya ketika ditemui TVS semasa latihan kontinjen tenpin boling Sarawak di Emart Megalanes Batu Kawa di sini, baru- baru ini.

Menurut Angelo, buat masa ini, pasukannya masih di fasa desentralisasi iaitu latihan yang terbahagi kepada beberapa sesi mengikut kesesuaian masa atlet.

Ini kerana mereka perlu menyeimbangkan waktu berlatih, belajar dan masa bersama keluarga agar tidak terlampau tertekan.

Sementara itu, dua ‘ayam tambatan’ Sarawak dalam acara tenpin boling iaitu Lavinia Kho dan Muhammad Ihsan Fikri Suffian ketika ditemui menyifatkan semangat berpasukan yang menginginkan pingat emas dan sokongan daripada banyak pihak membakar semangat untuk membutirkan kilauan emas kepada negeri ini.

Lavinia, 19, yang merupakan pemain boling Sarawak pertama merangkul gelaran dalam Kejohanan Boling Terbuka Antarabangsa Malaysia menjanjikan persembahan terbaik dalam temasya ini dengan persiapan fizikal dan mental.

“Kadang- kadang saya juga merasa tertekan dan saya sedar bahawa saya perlu mengawal emosi saya ketika bertanding namun perasaan tertekan memberi impak yang positif juga bak kata peribahasa diamonds are made under pressure,” katanya.

Manakala bagi Muhammad Ihsan, 20, yang baharu kali pertama beraksi di medan boling mengakui masih perlu mengasah teknik permainannya.

“Sasaran saya adalah untuk membawa pulang pingat emas kerana ini merupakan peluang pertama dan terakhir saya mewakili SUKMA dan maka dengan itu saya perlu mempertingkatkan corak permainan spare saya supaya dapat melakukan ulangan balingan ke frame yang seterusnya,” ujarnya.

Terdahulu, Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, usaha penambahbaikan kemudahan sukan tenpin boling di Pusat Penyelidikan dan Latihan Sarawak (SRTC) merupakan sebahagian daripada persiapan untuk temasya SUKMA Sarawak 2024 pada Ogos nanti bagi menyemarakkan lagi semangat kontinjen tersebut untuk berlatih. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan