Search
Close this search box.
Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg ditemui media selepas menghadiri Simposium dan Ekspo Warisan Budaya Iban 2024 di Kuching hari ini. Foto TVS

RUU pemansuhan Akta Lembaga Pelabuhan Bintulu 1981 dibentangkan pada sesi Parlimen

KUCHING, 24 Jun: Rang Undang-Undang (RUU) bagi pemansuhan Akta Lembaga Pelabuhan Bintulu 1981 bakal dibentangkan pada Sesi Persidangan Parlimen kali ini, kata Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Beliau menjawab soalan pemberita mengenai perjumpaan beliau dengan Ahli Parlimen dan Dewan Negara di Kuala Lumpur pada Ahad.

“Kita jangkakan bahawa RUU (pemansuhan) Pelabuhan Bintulu dibentangkan dalam sesi ini.

“Undang-undang (Pelabuhan) Bintulu akan dimansuhkan dan menjadi milik Sarawak, manakala (Pelabuhan) Labuan akan kekal sebagai Pelabuhan Persekutuan,” katanya selepas menghadiri Simposium dan Ekspo Warisan Budaya Iban 2024 di Bangunan Yayasan Kebudayaan Dayak di sini, hari ini.

Sebelum ini, Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Datuk Amar Douglas Uggah Embas memaklumkan Kerajaan Persekutuan sedang menyediakan RUU bagi memansuhkan Akta Lembaga Pelabuhan Bintulu 1981.

Setakat ini, rundingan antara Kerajaan Sarawak dan Persekutuan berhubung perkara tersebut juga lancar.

Sementara itu, Abang Johari semasa berucap di majlis perasmian simposium tersebut berkata, Kecerdasan Buatan (AI) adalah bukan sebahagian budaya, dan masyarakat yang bergantung sepenuhnya kepada AI akan kehilangan warisan budayanya.

“Kita tidak boleh membiarkan generasi muda kita untuk bergantung sepenuhnya kepada AI, meskipun ia adalah proses tambahan untuk kita melangkah kehadapan,” tambahnya.

Jelasnya, AI hanyalah alat untuk membantu manusia mencapai matlamat mereka.

Menurutnya lagi, AI harus tidak dilihat sebagai sebahagian daripada budaya kerana AI, seperti robot, tidak mempunyai budaya kerana ia diprogramkan untuk mengikuti arahan.

“Oleh itu, kita tidak akan mencipta apa yang kita panggil sebagai ‘masyarakat robotik’, tetapi sebaliknya, kita akan mencipta masyarakat berbudaya yang berasaskan teknologi untuk kita maju ke hadapan berdasarkan kekayaan budaya kita,” kata Abang Johari. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan