Search
Close this search box.
Tun Wan Junaidi ketika menyaksikan Mushaf Nurul Iman, sebuah naskhah al-Quran berskala besar seberat 255 kilogram yang dipamerkan di Balai Khazanah Islam Sultan Hassanal Bolkiah pada Isnin. Foto Ahmad Nasrullah (TVS)

Mushaf Nurul Iman tarikan Balai Khazanah Islam Sultan Hassanal Bolkiah

ByShafik Ahmad

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 Jun: Mushaf Nurul Iman atau al-Quran gergasi yang dipamerkan di Balai Khazanah Islam Sultan Hassanal Bolkiah antara tarikan yang ditawarkan kepada pengunjung pusat berkenaan.

Dalam lawatan kerja rasmi Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar ke Brunei, beliau turut mengadakan kunjungan ke balai khazanah tersebut pada Isnin.

Tun Wan Junaidi yang diiringi Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan tiba di Balai Khazanah Islam Sultan Hassanal Bolkiah semasa lawatan rasmi ke Brunei Darussalam. Foto Ahmad Nasrullah (TVS)

Beliau yang diiringi isterinya, Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi, serta Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki serta delegasi lain diberi taklimat mengenai kitab suci itu.

Menariknya, al-Quran berskala besar dengan ukuran panjang 145 sentimeter dan lebar 95 sentimeter dihasilkan dengan tulisan tangan oleh pensyarah Universiti Sains Al-Qur’an, Wonosobo, Jawa Tengah, Indonesia.

Penerbitan karya seberat 255 kilogram itu mengambil masa kira-kira sembilan bulan untuk disiapkan sepenuhnya pada 30 Jun 2006.

Ia merupakan pemberian daripada seluruh rakyat dan penduduk negara Brunei Darussalam sempena Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Hassanal Bolkiah yang ke-60 tahun pada 17 Ogos 2006.

Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah mengandungi sebanyak 4,733 bahan artifak dan manuskrip.

Daripada jumlah itu, sebanyak 1,599 di antaranya ialah manuskrip-manuskrip Islam yang ditulis dalam bahasa Arab, Melayu, Parsi dan Urdu.

Kebanyakan manuskrip ini adalah lengkap, asli, ditulis oleh penulis asalnya dan berusia di antara 400 sehingga lebih 1,000 tahun.

Contoh manuskrip-manuskrip Islam utama yang terdapat dalam Balai Khazanah Islam itu ialah manuskrip-manuskrip mushaf AL-Quran dan Kitab Ihya ‘Ulum al-Din yang ditulis oleh Imam al-Ghazali pada tahun 488 Hijrah bersamaan 1095 Masihi. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan