Search
Close this search box.
Gelang tembaga simbol keaggunan wanita Bidayuh. Foto Alex Teo (TVS)

Guna gelang tembaga sejak usia 15 tahun, Singai ‘ring lady’ Bidayuh tertua di Sarawak

ByAdlina Rahman

KUCHING, 23 Jun: “Saya mula menyimpan keinginan untuk meneruskan tradisi ini selepas melihat wanita dalam keluarga saya memakai gelang itu. Ketika itu saya merasakan mereka sangat cantik,” kata Singai Ningkan, 78, merupakan antara lima ‘ring lady’ terakhir yang wujud di Sarawak.

Mula memperagakannya sejak berusia 15 tahun lagi, Singai juga merupakan ‘ring lady’ tertua yang masih mempertahankan legasi pemakaian gelang tembaga.

Singai juga merupakan ‘ring lady’ tertua yang masih mempertahankan legasi pemakaian gelang tembaga. Foto Alex Teo (TVS)

Ditemui TVS di Kampung Sapit, Padawan baru-baru ini, Singai berkongsi mengenai gelang besi yang merupakan simbol kecantikan wanita suku kaum Bidayuh.

Gelang tembaga itu dikenakan di bahagian kedua belah lengan dan betis.

“Dalam bahasa tempatan, gelang di lengan digelar sebagai ‘Ruyang’ manakala ‘Rasung’ bagi betis,” jelasnya.

Selain itu Singai berkata, kaedah pemasangannya adalah unik yang mana tembaga yang baharu akan dipanaskan menggunakan bara api sebelum dilentur dan kemudian dililitkan di keempat-empat bahagian berkenaan.

Bercerita lanjut Singai turut menyatakan ia adalah wajib untuk si pemakai memberi upah kepada tukang lilit gelang tersebut kerana ia merupakan antara pantang-larang bagi mereka yang mula memasang gelang itu.

“Kami tidak boleh makan makanan yang masin seperti kasam, ikan masin dan belacan. Si pemakai akan merasa gatal dan tidak selesa di bahagian pergelangan tangan dan betis jika melanggar pantang larang itu,” kata Singai lagi.

Untuk rekod, ‘Ring Ladies’ pernah menjejak kaki ke Jerman dan Itali bagi memperagakan keunikan perhiasan suku kaum Bidayuh.

Mereka pernah menerima jemputan ke festival kumpulan pribumi dan suku kaum antarabangsa, Lo Spirito Del Pianeta di Milan pada 2016. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan