Search
Close this search box.
Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyampaikan pingat kepada seorang peserta yang sertai Larian Baton SUKMA 2024 di Kuching hari ini. Foto, Zaim Zharfan (TVS).

Sarawak setuju anjur SUKMA demi pembangunan sukan Malaysia – Abang Johari

ByHafeezzur Muzamir

KUCHING, 23 Jun: Kesediaan Sarawak menjadi tuan rumah Sukan Malaysia (SUKMA) pada tahun ini dibuat demi pembangunan sukan seluruh Malaysia, kata Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Premier Sarawak itu berkata, Sarawak mengambil tanggungjawab berkenaan walaupun bukan giliran mereka menganjurkan temasya dwitahunan itu.

Tambah Abang Johari, meskipun kos penganjuran tinggi namun pihaknya berpendirian bahawa ia menjadi tanggungjawab mereka untuk menyumbang kepada pembangunan bakat sukan di Malaysia.

“Perbelanjaannya besar, negeri lain menolak, tetapi apabila Sarawak diminta menjadi tuan rumah, kita bersetuju melakukannya demi pembangunan sukan seluruh Malaysia.

“Ia sedikit sebanyak membantu pembangunkan sukan di negara ini dan juga selari dengan objektif kita dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 melibatkan teras pembangunan bakat.

“Biarlah kita menyumbang bukan sahaja kepada negeri ini tetapi rakan-rakan kita juga kerana selepas SUKMA nanti, juaranya akan mewakili Malaysia,” katanya.

Abang Johari berkata demikian ketika berucap pada Jelajah Larian Baton Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 Bahagian Kuching, di Tebingan Kuching di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Menteri, Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah dan Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Gerald Rentap Jabu.

Untuk rekod, Kerajaan Sarawak membelanjakan RM300 juta bagi menganjurkan temasya kali ke-21 ini yang akan berlangsung bermula 17 hingga 24 Ogos depan.

Sebanyak 15 kontinjen dijadual mengambil bahagian melibatkan 13 pasukan negeri selain Wilayah Persekutuan dan Brunei.

Terdahulu lebih 1,000 peserta mengambil bahagian dalam larian baton itu yang menjadi lokasi terakhir selepas melalui 11 bahagian di negeri ini iaitu melibatkan Limbang, Miri, Bintulu, Mukah, Sibu, Kapit, Sarikei, Betong, Sri Aman, Serian dan Kota Samarahan. -TVS.

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan