Search
Close this search box.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Dr Zulkifli Hasan (dua, kanan) menyerahkan tablet kepada asnaf kepada Rosnah Harun (dua, kiri) pada Majlis Pelancaran Projek Jana Ekonomi Digital Asnaf (JEDA) di Menara Affin hari ini. Foto Bernama

30 usahawan asnaf terpilih sertai Projek JEDA

ByBernama

KUALA LUMPUR, 22 Jun: Sebanyak 30 asnaf terpilih menerima bantuan menerusi Projek Jana Ekonomi Digital Asnaf (JEDA) dalam usaha melahirkan usahawan digital yang bakal memacu ekonomi negara pada masa hadapan, selain mengubah nasib golongan berkenaan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan berkata projek dilaksanakan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dengan kerjasama Etiqa Family Takaful Berhad dan Affin Islamic Bank Berhad serta Sinergi Ilmu Resources Sdn Bhd itu bermula hari ini.

“Usahawan asnaf perlu bersedia bagi berhadapan dengan era teknologi yang semakin canggih untuk bersaing dalam pasaran.

“Projek JEDA ini diperkasakan melalui strategi mengeluarkan mereka daripada kemiskinan dan meningkatkan ekonomi golongan asnaf, serta mengenal pasti potensi asnaf sebelum bergelar usahawan serta strategi penyusunan program yang khusus.

“Kesediaan asnaf berubah menjadi usahawan yang berdaya saing akan memastikan objektif mengubah usahawan asnaf kepada pembayar zakat akan tercapai,” katanya dalam ucapan perasmian Projek JEDA di sini hari ini.

Beliau berkata projek itu melibatkan empat fasa iaitu pendedahan dengan aktiviti keusahawanan dan perniagaan, fasa pendidikan dengan ilmu keusahawanan, fasa pemasaran dan fasa pemantauan dalam tempoh selama enam bulan.

Zulkifli berkata Projek JEDA ialah kesinambungan daripada Projek Digital Entrepreneurship Asnaf (DEA) yang dilancarkan di Universiti Teknikal Malaysia Melaka pada 12 Mei lepas.

Pada majlis itu, sebanyak RM105,000 sumbangan zakat disalurkan oleh Etiqa Family Takaful Berhad bagi menjayakan pelaksanaan program JEDA, manakala Affin Islamic Bank Berhad pula memperuntukkan sebanyak RM20,000 dana zakat.

Melalui peruntukan oleh kedua-dua ahli Sekretariat Dakwah Jakim berkenaan, peserta asnaf dapat melalui semua fasa pembelajaran dan menerima elaun bulanan sebanyak RM250 serta sebuah tablet dan workbook.

Sementara itu, seorang penerima yang juga ibu kepada dua anak, Rosnah Harun, 50, berkata dia berharap perniagaan warung yang diusahakannya di Stesen Transit Aliran Massa (MRT) Titiwangsa di sini dapat diperkenalkan kepada lebih ramai pelanggan secara dalam talian setelah menyertai Projek JEDA.

“Saya berniaga nasi lemak berlauk pada waktu pagi hingga petang ketika ini dan bercadang mengembangkan perniagaan dengan menyediakan makanan bergoreng dan tomyam pada waktu malam pula.

“Pada masa ini, saya hanya cuba mempromosikan perniagaan ini melalui video live di Facebook, jadi selepas ini diharapkan saya menjadi mahir menggunakan media sosial lain pula,” katanya.

Seorang lagi peserta Ahmad Izzat Amir Ahmad Bahiki, 30, berkata urusan jual beli perniagaan pin dan rantai kunci yang diusahakannya sejak 2019 menjadi lebih mudah dengan penggunaan media sosial.

“Saya menjalankan sendiri perniagaan ini di rumah di Alam Damai, Cheras dan memasarkan dalam media sosial terutamanya TikTok dan Instagram, berurusan dengan pelanggan secara dalam talian menerusi WhatsApp untuk proses jual beli.

“Jadi, bagi saya kursus dianjurkan oleh Projek JEDA memang diperlukan para usahawan sekarang supaya lebih ramai tahu tentang kegunaan media sosial untuk mengembangkan perniagaan terutama golongan asnaf,” katanya. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan