Search
Close this search box.
Pelajar Sarawak Skills ketika sesi pembelajaran. Foto: TVS

Stigma terhadap TVET harus ditepis

ByIzzah Kamilah Yunus

KUCHING, 21 Jun: Stigma atau persepsi terhadap Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sebagai pilihan kedua atau terakhir harus dikikis.

Realitinya, TVET merupakan bidang yang menjurus kepada kerjaya dengan penekanan utama terhadap amalan industri bertujuan menghasilkan tenaga kerja kompeten.

Ketua Unit Perhubungan Sekolah dan Pemasaran Sarawak Skills, Awang Mohamad Hasrekim Awang Yusof berkata meskipun TVET semakin mendapat perhatian dalam kalangan pelajar dan ibu bapa, tetapi masih ada belum cakna potensi bidang itu.

“Beberapa kempen kesedaran dianjurkan oleh Sarawak Skills, Kerajaan Sarawak dan sekolah untuk membantu meningkatkan pengetahuan maklumat mengenai TVET.

“Antaranya, kita (Sarawak Skills) mengadakan pameran kerjaya bersama komuniti dan mengadakan beberapa bengkel dan kursus pendek bagi memberi peluang kepada anak muda untuk mencuba dan memahami bidang tertentu sekali gus menyediakan program latihan lebih praktikal berasaskan kemahiran,” katanya kepada TVS.

Awang Mohamad Hasrekim Awang Yusof. Foto TVS

Selain mengiklankan TVET di media sosial dan pengiklanan di radio, beliau berkata pengaruh positif rakan sebaya juga menjadi penyumbang kepada anak muda untuk menanam minat dalam bidang TVET.

Dalam pada itu, seorang Alumni Sarawak Skills, Sharu Meeza Tino yang kini bekerja sebagai pemeriksa kawalan kualiti di sebuah syarikat pembuatan mendedahkan bahawa kebolehannya pernah tidak diperakui berikutan dirinya lulusan daripada bidang TVET

“Saya juga sering dipersoal apakah keseinambungan bidang teknologi maklumat dan skop kerja juruteknik. Skop kerja juruteknik di tempat kerja saya ini lebih kepada All The Web (ATW) namun bidang yang saya pelajari (Diploma Pengurusan Sistem Maklumat) lebih kepada kerja di dalam pejabat.

“Saya gunakan apa yang saya pelajari dan praktikkan ilmu tersebut di tempat kerja saya,” katanya ketika ditemu bual TVS di Sarawak Skills pada Isnin.

Bagi Pelajar Elektrikal Tahap 2 Sarawak Skills, Nazri Akmal Marzulino memberitahu, diskriminasi tidak menghalangnya untuk menceburi dalam bidang yang diminati.

“Saya pernah mendapat tahu dari seorang sahabat, apabila seseorang ini menyatakan gaji bagi bidang TVET tidak lumayan berbanding graduan universiti tetapi saya berpegang kepada pesanan dari guru saya.

“Guru saya pernah berkata bahawa kebanyakan syarikat lebih berminat dengan pelajar yang berkemahiran tinggi,” katanya ketika ditemubual TVS di Sarawak Skills pada Isnin.

Pengarah Eksekutif Sarawak Skills, Hallman Sabri berkata seiring dengan Sarawak maju 2030, potensi bidang TVET dilihat dapat berkembang secara meluas. Foto: TVS

Dalam pada itu, Pengarah Eksekutif Sarawak Skills, Hallman Sabri positif bidang TVET akan sentiasa menerima kemasukan pelajar setiap tahun.

“Walaupun Sarawak Skills berdepan dengan masalah infrastruktur seperti penempatan pelajar, saya melihat kita bakal menjangkau angka dalam 3000 dan itu tidak termasuk pelajar bagi ‘upskilling’ dan ‘reskilling’,” katanya ketika ditemubual TVS di Sarawak Skills pada Isnin.

Penubuhan Institusi TVET bermula pada 1964 dengan penubuhan Pusat Latihan Perusahaan Kuala Lumpur yang kini dikenali sebagai Institut Latihan Perindustrian Kuala Lumpur, Kementerian Sumber Manusia bertujuan melaksanakan Program National Apprenticeship Scheme (NAS) yang diambil alih daripada Kementerian Pelajaran pada ketika itu.

Untuk rekod, Sarawak Skills telah ditubuhkan pada tahun 1994 dan merupakan ahli dalam Persekutuan Pusat Pembangunan Kemahiran Malaysia (FMSDC) yang kini dipengerusikan oleh Hallman Sabri. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan