Search
Close this search box.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad. Foto Bernama

Kerajaan ulangi komitmen capai pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050

ByBernama

KUALA LUMPUR, 20 Jun: Kerajaan mengulangi komitmen terhadap mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050 dan meningkatkan kapasiti tenaga boleh baharu dalam sistem pembekalan elektrik daripada 25 kepada 70 peratus, kata Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad.

Beliau berkata usaha itu disokong dengan memperkenalkan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) yang mewujudkan laluan untuk campuran tenaga, pengurangan pelepasan gas rumah hijau (GHG) dan inisiatif peralihan tenaga.

Menurut Nik Nazmi bagi mencapai sasaran berkenaan, Malaysia memerlukan pengimbangan teliti trilema tenaga untuk memastikan tenaga yang lestari, selamat dan mampu milik untuk masa hadapan.

“Mesyuarat Majlis Tindakan Perubahan Iklim Negara (MTPIN) baru-baru ini bersetuju untuk menubuhkan Jawatankuasa Dekarbonisasi Kebangsaan, yang akan saya pengerusikan.

“Dianggotai oleh kerajaan negeri dan pihak berkepentingan lain, peranan jawatankuasa ini adalah untuk memastikan peralihan Malaysia kepada pembangunan rendah karbon adalah teratur dan menyeluruh.

“MTPIN turut bersetuju supaya pelbagai dasar seperti NETR disegerakan, selain Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 dan Pelan Hala Tuju Ekonomi dan Teknologi Hidrogen (HETR),” katanya berucap pada Persidangan Pelaburan Mampan dan Bertanggungjawab (SRI) Perbadanan Pembangunan Industri Sekuriti (SIDC) 2024 di sini hari ini.

Persidangan berkenaan menekankan keperluan perpaduan global dalam mengutamakan pelaburan yang mampan untuk kesejahteraan manusia di tengah-tengah cabaran alam sekitar yang semakin meningkat.

Persidangan itu turut membincangkan pelbagai isu yang didedahkan oleh Persidangan ke-28 Pihak-Pihak Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFCCC) mengenai Perubahan Iklim (COP28) bahawa usaha pada masa ini tidak mencukupi untuk mengehadkan pemanasan global kepada suhu 1.5 darjah Celsius, yang memerlukan tindakan segera.

Sementara itu, Ketua Pegawai Ekskekutif SIDC Tengku Zarina Tengku Chik dalam ucapannya berkata Malaysia telah menyaksikan lonjakan ketara dalam pelaburan mampan yang dipacu oleh rangka kerja dasar dan inisiatif sokongan seperti Pelan Hala Tuju SRI dan Taksonomi SRI.

“Pengenalan Panduan Maqasid Al-Syariah mengukuhkan lagi komitmen Malaysia terhadap kemampanan, menonjolkan peranan penting dalam menggerakkan pelaburan untuk kesejahteraan manusia dan pemeliharaan alam sekitar,” katanya.

Berdasarkan laporan tahunan Suruhanjaya Sekuriti (SC), Malaysia merekodkan 68 dana SRI berjumlah RM7.7 bilion setakat Disember 2023, yang meningkat ketara berbanding tujuh dana pada 2020 berjumlah RM1.46 bilion.

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan