Search
Close this search box.
Timbalan Menteri MEITD, Datuk Dr. Annuar Rapaee merasmikan Persidangan Antarabangsa Pertama Kokurikulum dan Pengalaman Pembelajaran (ICCLE) 2024 di Kuching. Foto TVS

IPTN kukuhkan landskap pendidikan tinggi negara – Dr. Annuar

KUCHING, 20 Jun: Kerangka kerja Institut Pengajian Tinggi Negara (IPTN) yang masih dalam fasa perbincangan diyakini akan memperkukuhkan landskap pendidikan tinggi negara.

Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (MEITD) Sarawak, Datuk Dr. Annuar Rapaee berkata, penggabungan Institut Pengajian Tinggi Awam dan Swasta (IPTA dan IPTS) di bawah kerangka kerja ini kelak, bakal memperkukuhkan segmen pendidikan tinggi, sejajar dengan dasar dan strategi pengantarabangsaan yang dibangunkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

“Perkara ini masih lagi dibincangkan di peringkat KPT, sama ada untuk mengadakan IPTN yang berasingan, atau jika dipunyai oleh kerajaan negeri dan ia boleh diiktiraf sebagai IPTA, namun ia belum diputuskan lagi kerana masih di peringkat perbincangan dan sudah tentu melibatkan aspek perundangan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program Persidangan Antarabangsa Pertama Kokurikulum dan Pengalaman Pembelajaran (ICCLE) 2024 di sini pada Khamis.

Tambah Dr. Annuar, sekiranya cadangan ini dilaksanakan kelak, IPTN berkemungkinan akan dapat memperoleh bantuan geran, insentif berkaitan cukai serta lain-lain kemudahan yang disalurkan oleh kerajaan persekutuan dan negeri.

“Antara kelebihannya adalah dari segi insentif cukai. Kemudian yang keduanya adalah mungkin kerajaan persekutuan boleh menyalurkan dana kepada IPTN, kerana ia milik kerajaan negeri dan ia juga sebuah syarikat swasta, jadi maksud saya di sini adalah jika institut pengajian tinggi ini di bawah konteks IPTN, mungkin kerajaan persekutuan dapat menyalurkan geran kelak,” katanya lagi.

Menurut Dr. Annuar, kemahiran insani atau soft skills amat penting untuk mempersiapkan individu terutama para pelajar ketika menghadapi dunia kerjaya kelak.

Bertemakan ‘Melakar Kejayaan: Menyemai Kemahiran Insani Menerusi Pengalaman’, persidangan antarabangsa yang julung-julung kali diadakan itu, menghimpunkan lebih 100 peserta terdiri daripada warga pendidik serta penuntut daripada institusi pengajian tinggi awam seluruh negara.

Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) diberi penghargaan menjadi penganjur utama ICCLE 2024 bersama rakan strategiknya, Majlis Kokurikulum Universiti-Universiti Malaysia (UNiCC).

Antara inti pati persidangan ICCLE 2024 adalah pembentangan 60 kertas kerja mencakupi bidang yang memangkin serta meningkatkan kemahiran insani seperti inovasi, keusahawanan, budaya, pengucapan awam serta khidmat komuniti daripada pemain industri serta warga akademik.

Hadir sama Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UNIMAS, Profesor Ir. Ts. Dr. Al-Khalid Othman, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UNIMAS, Profesor Ir. Dr. Siti Noor Linda Taib, Pengerusi UNiCC, Profesor Ts. Dr. Intan Zaurah Mat Darus dan Pengarah Pusat Pembangunan Pelajar UNIMAS, Profesor Madya Dr. Faisal Ali Anwarali Khan. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan