Search
Close this search box.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, kedua-dua projek berkenaan mampu menjana tenaga elektrik sebanyak 108 megawatt (MW) setakat ini. Foto Faitullah Morni (TVS)

Batang Ai, kawasan pertama di Malaysia jana elektrik dengan kuasa hidro dan panel solar

ByAhmad Burhanuddin

LUBOK ANTU, 20 Jun: Batang Ai di Sri Aman merupakan kawasan pertama di Malaysia yang mengeluarkan tenaga elektrik dengan penjanaan kuasa empangan hidro dan panel solar terapung di sini, kata Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Menurut beliau kedua-dua projek berkenaan mampu menjana tenaga elektrik sebanyak 158 megawatt (MW) setakat ini.

Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, Dato Sri Julaihi Narawi bersama tetamu lain semasa melawat projek panel solar terapung di Batang Ai, Lubok Antu, hari ini. Foto Faitullah Morni (TVS)

“Ini menjadikan satu kawasan ini (Batang Ai) sebagai yang pertama di negara ini yang mengeluarkan tenaga elektrik dengan menggunakan kuasa empangan hidro dan juga solar,” kata beliau.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas program lawatan kerjanya di projek panel solar terapung di Batang Ai, di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Dato Sri Julaihi Narawi, Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak (Utiliti) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi dan Ketua Pegawai Eksekutif SEB Datuk Sharbini Suhaili.

Mengulas lanjut, Abang Johari berkata, kawasan yang telah digunakan untuk membina solar terapung ialah 86 hektar sahaja, iaitu hanya dua peratus daripada keseluruhan kawasan Batang Ai yang mempunyai keluasan kira-kira 8,500 hektar.

“Jadi sudah tentu masih ada ruang untuk kita menambah lagi penjanaan tenaga yang menggunakan solar dan saya telah membuat pengiraan saya sendiri.

“Kalau kita menggunakan 60 peratus sahaja daripada keseluruhan 8,500 hektar itu, maka potensi pengeluaran tenaga elektrik melalui solar panel adalah lebih kurang 2000 MW (bersamaan 2 gigawatt),” ujar beliau.

Justeru, kata Abang Johari, pihaknya telah melakukan perkongsian bersama Sarawak Energy Berhad (SEB) untuk memanfaatkan kawasan Batang Ai dengan meningkatkan pelaburan dengan syarikat asing

“Hal ini kerana kita (Kerajaan Sarawak) sudah meminda undang-undang kita yang membolehkan pihak swasta melabur dalam penjanaan kuasa,” katanya. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan