Search
Close this search box.
Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata kerajaan akan mengenal pasti mineral bernilai tinggi yang boleh dibangunkan. Foto fail TVS

Sarawak berpotensi hasilkan grafit, komponen penting sel hidrogen kenderaan

KUCHING, 18 Jun: Kekayaan mineral menjadikan Sarawak berpotensi mengeluarkan produk grafit yang merupakan komponen penting dalam menghasilkan sel bahan api hidrogen kenderaan.

Sehubungan itu, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata kerajaan akan mengenal pasti mineral bernilai tinggi yang boleh dibangunkan.

Menurutnya, ini setelah memperolehi laporan daripada Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan yang mengetuai delegasi Sarawak ke Kanada bagi mengetahui lebih mendalam tentang industri perlombongan di negara itu baru-baru ini.

Tambahnya, pemilihan Kanada adalah berikutan negara itu merupakan negara yang terbaik dalam pengurusan dan penerokaan sumber minreal yang tidak menjejaskan alam sekitar.

“Sarawak mempunyai potensi yang besar dalam mengeluarkan grafit kerana bahan mineral itu bercampur dengan mineral yang lain yang boleh diwujudkan sebagai satu produk yang baru.

“Biojisim di wilayah ini mempunyai ciri-cirinya yang tersendiri yang boleh mengeluarkan grafit yang merupakan komponen penting dalam menghasilkan sel bahan api hidrogen kenderaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Korban sempena Sambutan Hari Raya Aidiladha 2024 anjuran Jabatan Premier Sarawak dan Majlis Kebajikan dan Rekreasi Kakitangan Kerajaan (MAKSAK) Sarawak di Wisma SABATI di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai kenyataan Awang Tengah yang  menyatakan Sarawak dianggarkan memiliki nilai mineral mencecah lebih RM1.25 trilion semalam.

Jelas Abang Johari lagi, kerajaan akan meneliti kajian tersebut bersama Jabatan Mineral dan Geosains Sarawak bagi mengenal pasti lebih terperinci mengenai mineral yang terdapat dalam perut bumi Sarawak.

“Tetapi kita tidak akan terlalu mengeksploitasi mineral kerana kita hanya ambil mineral yang penting dan bernilai.

“Sebab itu, beliau menyebut Sarawak dijangka memiliki nilai mineral melebihi RM1.25 trilion dan apa yang kita perlukan sekarang adalah input dari sudut sains pula,” katanya lagi.

Terdahulu, Awang Tengah mengetuai delegasi Sarawak dalam lawatan kajian teknikal industri perlombongan di British Columbia, Kanada.

Lawatan itu merupakan penanda aras bagi amalan terbaik Kanada dalam pembangunan dan pengurusan industri perlombongan. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan