Search
Close this search box.
Mahkamah Rayuan menolak rayuan kerajaan Persekutuan terhadap kebenaran yang diberikan kepada Persatuan Undang-undang Sabah untuk meneruskan semakan kehakiman melibatkan isu hak 40 peratus hasil negeri itu. Foto hiasan Envato

Cabar hak 40 peratus hasil Sabah ke Mahkamah Tinggi untuk perbicaraan penuh

ByBernama

KOTA KINABALU, 18 Jun: Mahkamah Rayuan menolak rayuan kerajaan Persekutuan terhadap kebenaran yang diberikan kepada Persatuan Undang-undang Sabah (SLS) untuk meneruskan semakan kehakiman melibatkan isu hak 40 peratus hasil negeri itu.

Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Ravinthran N. Paramaguru, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali dan Datuk Dr Choo Kah Sing menyampaikan keputusan itu melalui prosiding yang diadakan secara dalam talian hari ini.

Hakim Ravinthran yang membacakan keputusan itu mengarahkan Mahkamah Tinggi untuk menetapkan tarikh bagi perbicaraan penuh permohonan semakan kehakiman itu.

Kerajaan Persekutuan merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada 11 Nov 2022, yang memberi kebenaran kepada SLS meneruskan semakan kehakiman berhubung perkara itu bagi memaksa hasil Persekutuan diperoleh dari negeri itu dipulangkan mengikut Perlembagaan Persekutuan.

Pada 11 Nov 2022, Hakim Ismail Brahim membenarkan permohonan SLS untuk mendapatkan kebenaran bagi meneruskan semakan kehakiman, memutuskan bahawa SLS mempunyai locus standi untuk berbuat demikian kerana ia merupakan litigasi berkepentingan awam.

Jabatan Peguam Negara (AGC) memperoleh perintah penangguhan bagi menghalang Mahkamah Tinggi mendengar merit kes itu sementara menunggu rayuan.

SLS memfailkan permohonan semakan kehakiman pada 2022 bagi membatalkan warta kerajaan Persekutuan mengenai geran tahunan sebanyak RM125.6 juta bagi Sabah dengan mendakwa ia melanggar hak hasil negeri itu di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Menyampaikan keputusan sebulat suara, Hakim Ravinthran berkata SLS sekurang-kurangnya telah membuktikan locus standi untuk semakan kehakiman kerana ia jelas merupakan litigasi berkepentingan awam yang diambil untuk manfaat orang ramai.

Beliau berkata ia tidak diambil atas dasar peribadi atau rungutan SLS.

Hakim itu berkata isu dalam permohonan semakan kehakiman melibatkan kepentingan perlembagaan yang tinggi dan ia diambil bagi menunjukkan hak perlembagaan yang diberikan kepada negeri Sabah, seterusnya demi manfaat rakyat.

“Sama ada terdapat merit dalam permohonan (semakan kehakiman) ini atau sebaliknya perkara ini perlu dibincangkan dalam perbicaraan penuh (di Mahkamah Tinggi),” katanya.

Hakim Ravinthran, bagaimanapun berkata untuk menutup peluang SLS daripada membincangkan isu itu atas dasar locus standi pada peringkat ini pastinya menjadi langkah ke belakang dan tidak selaras dengan perkembangan terkini undang-undang dalam bidang itu.

Beliau berkata pada tahap ini, tidak boleh dikatakan bahawa subjek (semakan kehakiman) tidak boleh diadili, dan peguam SLS telah menunjukkan dalam permohonan semakan kehakiman bahawa mereka tidak mencabar kesahihan pemberian khas untuk negeri Sabah.

“Jika itu berlaku, ia akan segera menarik hujah yang boleh diadili kerana perkara itu dipersetujui kerajaan Persekutuan dan Sabah.

“SLS juga tidak meminta mahkamah menjalankan semakan di bawah Perkara 112 (Perlembagaan Persekutuan). Kesannya juga akan menarik hujah yang boleh diadili kerana mahkamah tidak dilengkapkan untuk mengendalikan perkara sedemikian,” kata hakim berkenaan.

Beliau berkata tumpuan utama permohonan semakan kehakiman ialah dakwaan mengenai “tahun-tahun yang hilang”.

“Tahun-tahun yang hilang” merujuk kepada tempoh 48 tahun bagi semakan mandatori kedua pemberian hasil 40 peratus negeri yang sepatutnya dilaksanakan pada 1974, tetapi hanya dilakukan pada 2022.

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan