Search
Close this search box.
Mohamad Hasli Bujang bersama anaknya ketika ditemui TVS baru-baru ini. Foto TVS

Pengorbanan seorang bapa, Hasli galas tanggungjawab jaga anak selepas pemergian isteri

ByKimberly Dickson

KUCHING, 17 Jun: Kesedihan pemergian isteri tersayang masih dirasai, namun seorang bapa yang bertugas sebagai pekerja perkhidmatan pengiriman cepat, Mohamad Hasli Bujang tetap tabah dan sabar menjaga anaknya.

Katanya, selepas diuji kehilangan insan tersayang, kini dia meneruskan peranannya sebagai seorang bapa dan juga seorang ibu.

“Saya berkahwin pada tahun 2019, dua tahun sahaja kami sempat bersama lalu dia (isteri) meninggal.

“Puncanya sebab mengalami penyakit kronik, anak saya baharu berumur setahun pada ketika itu dan sejak dari itulah saya bermula menjadi seorang bapa dan mak kepada Yusuf, (anak),” katanya ketika ditemui TVS sempena Hari Bapa baru-baru ini.

Mohamad Hasli Bujang bersama anaknya ketika ditemui TVS baru-baru ini. Foto TVS

Sebelum pemergian isterinya, mereka sekeluarga sempat bercuti bersama-sama di Sabah dan Hasli sendiri tidak menyangka itu merupakan percutian bersama buat kali terakhir.

Tambah Hasli, ketika itu isterinya sempat berpesan agar suaminya (Hasli) menjaga anak mereka sehingga besar dan semoga anaknya (Yusuf) menjadi anak yang soleh.

“Nasihat arwah isteri sebelum dia pergi, dia suruh saya jaga Yusuf sehingga besar dan didik dia semoga jadi anak yang soleh,” ujarnya.

Bercerita lanjut, Hasli mengulas saat dirinya mengetahui mengenai penyakit yang dihadapi isterinya ketika itu, dia akui terpaksa mempersiapkan diri dan meneruskan kehidupan demi masa depan anaknya.

Ujar Hasli, anaknya telah dibiasakan untuk berada dekat dengannya bagi mengelakkan anaknya meragam mencari ibunya.

“Perasaan hati saya ni memang dah tahu akan jadi begini sebab saya yang sentiasa bersama isteri saya, sebab itulah saya sudah bersedia awal-awal kerana saya tidak mahu anak saya menangis mencari ibunya,” jelasnya.

Dalam pada itu, menyentuh mengenai tugasnya sebagai pekerja perkhidmatan pengiriman cepat, ada kalanya Hasli terpaksa membawa anaknya bersama setiap kali ada tugasan penghantaran.

Beliau turut mengakui, terdapat cabaran yang dilalui, namun Hasli tetap cekal meneruskan kehidupan demi tanggungjawab membesarkan anak tersayang. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan