Search
Close this search box.
Datuk Seri Nancy Shukri menyampaikan sumbangan korban kepada golongan asnaf di Surau Saidina Umar di Kuching hari ini. Foto TVS

KPWKM akan tambah baik Akta Kanak-Kanak – Nancy

KUCHING, 17 Jun: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan melipatgandakan usaha menambahbaik Akta Kanak-Kanak yang sedia ada bagi mengatasi permasalahan yang melibatkan kanak-kanak pada masa kini.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, kementeriannya sedar akan peningkatan kes berkaitan kanak-kanak pada masa kini dan beliau akan memastikan pindaan akta ini akan dibentangkan di Parlimen pada tahun ini atau tahun 2025.

“Ia sudah dalam proses sebab kita memang nak mengetatkan. Pertama sekali, oleh kerana kita juga menubuhkan Jabatan Pembangunan Kanak-Kanak maka ia perlu diperketatkan dan juga kita ambil peluang untuk perketatkan lagi undang-undang kerana banyak perkara yang berlaku yang memberi pengajaran kepada kita untuk kita menambahkan, untuk meminda undang undang tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada majlis Ibadah Korban di Surau Saidina Umar, Taman Intan Bandar Bandar Baru Semariang pada Isnin.

Ahli Parlimen Santubong itu menjawab kenyataan Pengerusi Kebangsaan Wanita Persatuan Cina Malaysia (MCA), Wong You Fong yang mahukan KPWKM untuk memperketatkan undang-undang yang melindungi golongan kanak-kanak tersebut.

Tambah Nancy, kementeriannya akan terus berusaha untuk menjaga kebajikan kanak-kanak di seluruh negara supaya permasalahan seperti penderaan kanak-kanak dan kes rogol antaranya, dapat diatasi dengan kadar segera.

Pada majlis itu seramai 35 penerima daripada golongan asnaf dari kawasan Taman Intan di Bandar Baru Semariang menerima sumbangan daging korban pada majlis Ibadah Korban anjuran Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADiM) Sarawak dan Pejabat Parlimen P.193 Santubong.

Hadir sama Pengarah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADiM) Sarawak, Awang Dulhadi Awang Mat, Penghulu Bandar Baru Semariang, Amat Amin, Ketua Kaum Taman Intan, Wahit Amin dan Pengerusi Surau Saidina Umar Taman Intan, Tahir Bujang.-TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan