Search
Close this search box.
Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Datuk Amar Dr Sim Kui Hian bersama tetamu yang lain pada Majlis Makan Malam Sambutan Ulang Tahun Ke-160 Persatuan Teo Chew Kuching, malam tadi. Foto Mohammed Raffiq (TVS)

Kerajaan Sarawak terus sokong pembangunan sekolah Cina menerusi peruntukan dana tahunan

KUCHING, 17 Jun: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg memberi jaminan bahawa beliau akan terus menyokong sekolah Cina dengan penambahan peruntukan tahunan sejajar dengan matlamat kerajaan membangunkan pendidikan.

Menurutnya, bidang pendidikan begitu ditekankan kerajaan memandangkan kemajuan amat bergantung dengan pembangunan modal insan berkualiti, malah bagi memenuhi tenaga kerja dan pakar dalam bidang-bidang baru yang kerajaan Sarawak bangunkan.

“Itu sebab Kerajaan Sarawak mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) sedangkan pihak lain cuma memberi janji kosong tetapi kita menunaikan janji tersebut.

“Dengan permulaan dari Allahyarham Tok Nan (Pehin Sri Adenan Satem), kerajaan Sarawak yang diketuai saya akan terus memberi peruntukan malah meningkat jumlah peruntukan untuk sekolah Cina,” katanya berucap pada Majlis Makan Malam Sambutan Ulang Tahun Ke-160 Persatuan Teo Chew Kuching di sini, malam tadi.

Abang Johari berkata, pada masa ini ramai anak-anak bumiputera belajar di sekolah Cina dan mereka boleh berkomunikasi fasih dalam bahasa Cina.

Kelebihan ini membuka lebih banyak peluang kepada mereka di peringkat antarabangsa terutamanya di China, jelasnya.

“Negara China adalah ekonomi kedua terbesar di dunia. Saya juga melawat ke China untuk mencari lebih banyak pelaburan. Dari segi teknologi, kita mengguna pakai teknologi China dalam membangunkan pengangkutan awam kita iaitu ART,” ujarnya.

Tambahnya, projek tenaga hidro yang dibangunkan di Sarawak juga menggunakan kepakaran teknikal dan kejuruteraan dari China.

Beliau sekali lagi menyatakan inisiatif kerajaan Sarawak dalam menyediakan pendidikan tertiari percuma pada 2026 tanpa mengira kaum dan agama. Ini adalah sejajar dengan matlamat kerajaan memperkasakan sektor pendidikan.

Dalam pada itu, beliau memuji sumbangan dan inisiatif yang dilakukan Persatuan Teo Chew yang menubuhkan SMK Kuching High satu ketika dahulu.

“Orang Teo Chew yang berasal dari China datang ke Kuching sejak bertahun-tahun dahulu dan mewujudkan komuniti dan budaya sendiri di tempat ini.

“Mereka telah menyebarkan budaya ke Kuching dan memupuk budaya itu sebagai sebahagian daripada budaya Kuching dan Sarawak. Dalam erta kata lain, anda semua ialah orang Sarawak,” katanya.

Pada majlis itu, Abang Johari turut mengumumkan sumbangan RM160,000 kepada Persatuan Teo Chew Kuching sempena sambutan ulang tahun ke-160 persatuan itu.

Hadir sama, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr Sim Kui Hian. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan