Search
Close this search box.
Datuk Francis Harden seru atlet Sarawak bagi acara sukan tinju untuk menggondol 16 pingat emas dan sekali gus menyapu bersih kesemua kategori bagi acara sukan itu. Foto Muqri Aziz (TVS)

SUKMA 2024: Sarawak sasar 16 pingat emas acara sukan tinju

ByMuqri Aziz

SRI AMAN, 16 Jun: Kontinjen Sarawak dalam Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak 2024 mensasarkan sebanyak 16 pingat emas dan sekali gus mahu menyapu bersih bagi kesemua kategori bagi acara sukan tinju yang akan dipertandingkan di Bahagian Sri Aman pada Ogos depan kelak.

Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Francis Harden Hollis mengharapkan sokongan padu daripada peminat tinju serta masyarakat setempat memberi semangat kepada atlet Sarawak untuk meraih kejayaan besar bagi acara sukan itu.

“Bahagian Sri Aman juga akan menerima kira-kira 500 atlet dan pegawai yang akan berkampung di sini.

“Sehubungan itu, saya memohon kepada masyarakat Sri Aman untuk memberi kerjasama dan sokongan yang padu kepada atlet tinju Sarawak untuk menggondol 16 pingat emas dan sekali gus menyapu bersih kesemua kategori acara sukan tinju,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Larian Baton Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak dan Para SUKMA Sarawak 2024 Bahagian Sri Aman di Waterfront Sri Aman semalam.

Turut hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Sekretariat SUKMA Sarawak 2024 merangkap Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi) Datu Hii Chang Kee, Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Dolhadi Marzuki dan Pemangku Residen Bahagian Sri Aman Mahra Salleh.

Dalam pada itu, beliau turut berterima kasih dan menzahirkan penghargaan kerana memilih Bahagian Sri Aman menjadi tuan rumah bagi satu acara sukan.

Beliau turut menyahut seruan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg untuk menjadikan temasya sukan berprestij itu menjadi temasya sukan terbesar dan terbaik sepanjang sejarah penganjuran itu.

Pada masa sama, beliau mahu kontinjen Sarawak meraih kejuaraan keseluruhan ke-14 pada edisi kali ini dengan kali terakhir Sarawak menjadi juara keseluruhan pada tahun 1994.

SUKMA ke-21 merupakan kali ketiga Sarawak menjadi tuan rumah selepas tahun 1990 dan 2016.

SUKMA Sarawak 2024 bakal menyaksikan 37 jenis sukan dipertandingkan membabitkan 488 acara, dengan menghimpunkan 12,619 atlet dan pegawai termasuk kontinjen jemputan Brunei Darussalam. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan