Search
Close this search box.
Dato Sri Roland Sagah Wee Inn (tengah) menyempurnakan Majlis Penyerahan Baton SUKMA Sarawak 2024 Bahagian Serian. Foto Muqri Aziz (TVS)

SUKMA: 14 pingat emas acara gimnastik jadi buruan Sarawak

ByMuqri Aziz

SERIAN, 16 Jun: Kontinjen Sarawak menyasarkan sebanyak 14 pingat emas bagi acara sukan gimnastik artistik pada Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak 2024.

Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, acara sukan itu akan diadakan di Serian Conference Centre (SCC) pada 21 hingga 24 Ogos depan.

“Kita cukup bertuah kerana Bahagian Serian dipilih menjadi tuan rumah bagi satu acara sukan iaitu gimnastik artistik dengan sebanyak 14 pingat bakal jadi rebutan buat semua kontinjen SUKMA Sarawak 2024.

“Kita berharap bahawa kontinjen Sarawak akan merangkul kesemua pingat emas yang dipertandingkan di bahagian ini dan diharapkan juga masyarakat Serian memberi sokongan yang jitu buat atlet kita kelak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Larian Baton Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak 2024 dan Para SUKMA Sarawak 2024 di Serian Conference Centre di sini hari ini.

Turut hadir sama Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Martin Ben, Ketua Pegawai Eksekutif Sekretariat SUKMA Sarawak 2024, Datu Hii Chang Kee dan Residen Bahagian Serian, Caroline Cleophas Joseph.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tarat itu berkata, venue dan perkampungan sukan kini sudah siap dinaik taraf dan hanya menunggu ketibaan para atlet dan pegawai yang bakal berkampung di sini nanti.

“Saya menyeru kepada semua warga Bahagian Serian agar turut meraikan temasya berprestij ini dengan memberi sokongan padu kepada semua atlet yang bertanding di arena-arena lain yang berhampiran, tanpa mengira negeri asal mereka.

“Tunjukkan semangat kesukanan serta perpaduan yang tinggi sebagai rakyat Sarawak yang menyanjung semangat perpaduan yang tinggi,” katanya.

Hampir 1,000 peserta menyertai acara Larian Baton SUKMA Sarawak 2024 di bahagian ini yang mengelilingi bandar Serian sepanjang 4.05 kilometer pagi tadi.

Acara larian itu dipimpin oleh dua Ikon Sukan Sarawak iaitu bekas atlet hoki wanita kebangsaan Lisa Ludong dan jaguh bina badan negara Buda Anchah. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan